Padah seludup ayam, rokok

Padah seludup ayam, rokok

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 9 Okt – Mahkamah Majistret Kuala Belait telah menjatuhkan hukuman denda $1,000 ke atas seorang lelaki tempatan setelah didapati bersalah cuba membawa masuk secara haram sejumlah 42 kilogram ayam dari Miri, Sarawak.

Mazlan Mohammed, 42, dalam kejadian pada 12 September, telah ditahan di Pos Kawalan Sungai Tujoh, setelah pegawai kastam dalam pemeriksaan mereka menemui ayam beku disimpan di dalam kompartmen keretanya.

Selain itu, pegawai kastam turut menemui sejumlah 20 paket rokok tanpa cukai.

Semasa soal siasat, defendan mengaku mengetahui akan kesalahan membawa masuk ayam dan rokok tanpa permit daripada pihak berkuasa. Duti eksais yang tidak dibayar ke atas barangan itu berjumlah $281.

Di bawah Seksyen 146(1)(i) Perintah Eksais, individu yang didapati bersalah membawa masuk barangan tanpa cukai boleh dikenakan denda tidak kurang daripada enam kali jumlah duti eksais atau $40,000 mengikut mana-mana jumlah yang lebih rendah.

Sementara itu, dalam kes berasingan, lelaki berusia 58 tahun telah dijatuhi hukuman denda sejumlah $400 kerana membawa masuk minuman keras melebihi had yang ditetapkan oleh undang-undang.

Defendan, Ting Lit Hing telah dibawa ke Jabatan Kastam dan Eksais Diraja untuk soal siasat selepas penguatkuasaan undang-undang menyerbu sebuah ke diaman di Panaga, Belait pada 23 Disember 2013.

Semasa serbuan itu, para pegawai kastam telah menemui tujuh botol arak dan sembilan minuman keras menjadi milik defendan. Semua barang telah dirampas.

ARTIKEL YANG SAMA