Padah seludup rokok dalam bot

Padah seludup rokok dalam bot

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_151124__mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Nov – Gara-gara memiliki rokok yang tidak diisytiharkan, dua lelaki tempatan dijatuhi hukuman denda oleh Mahkamah Majistret, hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan.

Awangku Bahrin bin Pengiran Besar, 43, dikenakan denda $3,600 atas dakwaan memiliki sembilan karton rokok di dalam bot di kawasan pantai Padang Golf Mentiri pada 6 Januari 2013.

Pemangku Majistret Kanan, Azrimah binti Haji Abdul Rahman mengarahkan defendan untuk membayar $150 setiap bulan, bermula hujung November ini sehingga selesai atau berdepan tiga bulan penjara jika gagal membayar denda itu.

Manakala, Dzulkifli bin Haji Abdullah berusia 41 tahun pula dijatuhi denda $11,000 kerana memiliki 31 karton rokok pada tempat dan tarikh yang sama.

Pemangku Majistret Kanan juga mengarahkan defendan untuk membayar $300 setiap bulan, bermula hujung November ini dan $500 pada bulan terakhir pembayaran, dan jika gagal membayar denda, defendan akan dipenjarakan selama 11 bulan.

Fakta kes menyebut, kedua-dua defendan ditahan oleh polis marin yang membuat pemeriksaan ke atas bot mereka dan menemui rokok-rokok tersebut disimpan dalam kotak dan dua beg plastik.

Kedua-dua defendan mengaku membeli rokok itu di Limbang untuk kegunaan sendiri.

Pemangku Majistret Kanan turut mengarahkan kesemua rokok yang dirampas itu diserahkan kepada kerajaan.

ARTIKEL YANG SAMA