Padah simpan motosikal curi

Padah simpan motosikal curi

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Mei – Tindakan berani seorang lelaki tempatan yang masih mahu menyimpan barang curi mengundang padah apabila dijatuhi hukuman penjara selama sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini,
hari ini.

Junaidi bin Jumat, 32, dijatuhi hukuman selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan menyimpan atau memiliki harta curi iaitu dua buah motosikal milik Omarnajib bin Haji Sisa dan Muhammad Yusnan bin Haji Lamat, dengan mengetahui atau sebab untuk mempercayai bahawa harta itu adalah harta curi.

Majistret Kanan, Haji Nabil Daraina bin PUKDSS Ustaz Haji Badaruddin memerintahkan hukuman ke atas tertuduh bermula hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya Dayangku Hazirah binti Pengiran Mohd Yusof memberitahu mahkamah, Omarnajib hanya menyedari motosikalnya telah hilang daripada rumahnya pada malam 25 Jun 2014, dan terus membuat laporan polis.

Siasatan polis mendapati tertuduh telah membeli motosikal itu daripada rakannya pada harga $300 pada 26 Jun 2014.

Pada 1 Julai 2014, tertuduh telah menyimpan motosikal curi itu di rumah rakannya di Kampung Jangsak apabila menyedari polis sedang mencarinya.

Dalam kejadian berasingan, seorang lagi pemilik motosikal, Muhammad Yusnan bin Haji Lamat turut membuat laporan polis apabila menyedari motosikalnya yang diletakkan di luar rumah hilang pada petang 20 Jun 2014.

Tertuduh didapati telah membeli motosikal hitam Yamaha X-1R itu pada harga $300 daripada rakannya pada atau sekitar 21 Jun 2014 kira-kira 10 malam ketika pergi ke rumah rakannya itu di Kampung Meragang untuk bermain dart.

Tertuduh yang mengetahui motosikal itu adalah harta curi bertekad untuk terus menyimpannya di Ban 1 Kilanas bagi kegunaan pekerjanya.

Kesalahan yang dilakukan tertuduh memperuntukkan penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya di bawah seksyen 411, Kanun Hukuman Jenayah, Bab 22.