Padah tidak hormati bendera negara

Padah tidak hormati bendera negara

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Feb – Dua orang warga asing telah dibatalkan pas kerjanya dan diusir keluar serta merta dari negara ini selepas didapati terlibat dengan perbuatan yang dinilai sebagai tidak menghormati bendera negara.

Menurut kenyataan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (JKDN), baru-baru ini, gambar yang memaparkan bendera negara dicemarkan dan tidak dihormati telah disebarkan secara aktif dan ini menimbulkan kemarahan orang ramai.

Sehubungan itu, beberapa agensi penguatkuasaan telah menjalankan siasatan terperinci ke atas beberapa orang warga asing sehingga membawa kepada penemuan dua individu berkenaan.

JKDN dalam kenyataannya turut menekankan bahawa kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mengambil serius terhadap tindakan individu warga asing yang bekerja di negara ini dan didapati menggunakan bendera negara dengan cara yang tidak selayaknya dan mencemarkan kedaulatan negara.

Menurut kenyataan itu lagi, orang ramai dan penduduk tetap serta warga ekspatriat perlu lebih bertanggungjawab, menghormati dan menjaga bendera negara. Sebarang perbuatan yang dinilai menghina bendera tidak boleh diberikan toleransi malah akan diambil tindakan oleh pihak berkuasa.

Selain itu, orang ramai juga diingatkan agar bendera disimpan dalam keadaan baik dan bukannya koyak, lusuh atau pudar warnanya. Jika bendera tersebut sudah tidak sesuai digunakan lagi, ia perlu dilupuskan dengan cara yang betul.

ARTIKEL YANG SAMA