Padah tinggal lebih tempoh

Padah tinggal lebih tempoh

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Ogos – Mahkamah Majistret, hari ini, menjatuhi enam bulan penjara ke atas seorang wanita Indonesia atas kesalahan tinggal melebihi tempoh di negara ini.

Majistret Kanan Lailatul Zubaidah binti Haji Mohd Hussain menjatuhkan hukuman itu ke atas Sri Nurnaningsih, 21, yang menghadapi pertuduhan tinggal selama 339 hari di negara ini sejak pas lawatannya mansuh pada 9 September 2014.

Fakta kes menyebut, defendan ditahan dalam operasi yang dijalankan pada 14 Ogos 2015 kira-kira pukul 1:18 pagi di Kampung Lambak Kiri apabila dia gagal menunjukkan sebarang dokumen perjalanan.

Ketika disoal-siasat, defendan memberitahu dia telah memberikan pasportnya kepada seorang wanita tempatan bernama ‘Ibu Lina’ dan membayarnya $250 untuk memperbaharui pas lawatannya namun siasatan pada sistem pangkalan data imigresen menunjukkan tidak ada pembaharuan dibuat pada pas lawatannya.

Dalam bilik mahkamah yang sama, tiga lelaki Indonesia dan dua lagi wanita Indonesia turut menerima nasib yang sama apabila dijatuhi hukuman penjara atas kesalahan yang sama.

pg06_150819_mahkamah logo

Salahuddin, 42, dijatuhi empat bulan penjara dan tiga sebatan selepas didapati tinggal di negara ini selama 470 hari manakala Muhtar, 35, dikenakan enam bulan penjara dan tiga sebatan kerana tinggal selama 643 hari selepas pas lawatan kedua-duanya mansuh, masing-masing pada 30 September 2014 dan 8 November 2013.

Sementara Anhar, 28, dijatuhi tiga bulan penjara dan tiga sebatan selepas didapati tinggal selama 156 hari di negara ini selepas pas lawatannya mansuh pada 11 Mac 2015.

Hadijah, 46, pula dijatuhi lima bulan penjara selepas didapati tinggal selama 543 hari sejak pas lawatannya mansuh pada 16 Februari 2014 dan Riyami, 41, dikenakan sembilan bulan penjara kerana tinggal selama 604 hari sejak pas lawatannya mansuh pada 17 Disember 2013.

Majistret Kanan memerintahkan hukuman ke atas kesemua defendan bermula hari ini.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Hajah Atiyyah binti Haji Abas.

ARTIKEL YANG SAMA