Padah tipu jurujual

Padah tipu jurujual

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_151006_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Okt – Seorang lelaki warga China dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret, hari ini, selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan menipu.

Zhang Xin berusia 24 tahun memahami pertuduhan yang dibacakan ke atasnya dalam Bahasa Mandarin di hadapan Majistret Kanan, Haji Nabil Daraina bin PUKDPSS Ustaz Haji Awang Badaruddin. Tertuduh berdepan kesalahan menipu seorang jurujual pada 2 Oktober 2015 kira-kira jam 7:30 malam di kedai komputer di The Mall dengan mengatakan bahawa dia belum menerima baki wang $95 daripada pembelian yang dibuat.

Pertuduhan kedua menyebut, pada tarikh yang sama sekitar jam 6:30 petang di kedai komputer di Kiulap, tertuduh juga menipu juruwang kedai itu dengan mengatakan bahawa dia belum menerima baki wang $95.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 420 Kanun Hukuman Jenayah, Bab 22 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda. Majistret Kanan turut memerintahkan tertuduh untuk membayar ganti rugi $200 kepada kedai komputer terbabit atau berdepan satu bulan penjara jika gagal membayar.

Pegawai Pendakwa Dayang Nor’Adliatul Hidayah binti Haji Mohd Zaidi dalam kertas pertuduhan menyebut, tertuduh tiba di negara ini pada 28 September 2015 melalui pas melawat. Pada 2 Oktober 2015, tertuduh pergi ke kedai komputer di Kiulap dan membeli dua keping kabel rangkaian Siemax pada harga $8 dan membayarnya dengan $100.

Sebelum jurujual itu sempat mengembalikan baki wang, tertuduh memberitahu dia ada tukaran wang kecil berjumlah $3 dan meminta wang $100 itu kembali.

Juruwang itu kemudian mengembalikan semula $100 kepada tertuduh dan pada masa yang sama, tertuduh memberikan $3 kepada juruwang itu.

Tertuduh kemudian memberitahu juruwang bahawa dia belum menerima baki $95 di mana juruwang itu membuka mesin daftar tunai dan memberinya $95.

Tertuduh secara tidak jujur telah memperdayakan juruwang itu, yang telah memberinya $95. Juruwang tersebut hanya menyedari dia ditipu selepas tertuduh pergi.

Kesalahan yang sama turut dilakukan oleh tertuduh di kedai komputer di The Mall.

Juruwang itu hanya menyedari dia ditipu selepas tertuduh pergi, dan segera mengira wang tunai dalam mesin daftar dan mendapati terdapat kekurangan wang.

Juruwang kemudian memeriksa CCTV dan memaklumkannya kepada rakan sekerjanya. Mereka berjaya mengesan tertuduh yang masih berada di The Mall dan memaklumkannya kepada pengawal keselamatan.

ARTIKEL YANG SAMA