Padah ugut anggota polis, isteri

Padah ugut anggota polis, isteri

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_160728_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Julai – Akibat mengugut hendak mencederakan dua anggota polis dan melakukan ugutan jenayah terhadap isterinya, seorang lelaki tempatan dijatuhi penjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret, hari ini.

Ketua Majistret, Muhammad Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli memutuskan hukuman itu selepas Asnan bin Haji Laki, 41, mengaku bersalah mengugut untuk mencederakan dua anggota polis dengan pisau bagi mengelak daripada ditangkap.

Asnan juga didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap isterinya dengan mengeluarkan kata-kata ancaman sambil mengayunkan pisau terhadap mangsa.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Kampung Lambak Kanan pada 14 Mac 2016.

Menurut fakta kes, tertuduh pada waktu kejadian pergi ke tingkat atas rumah mertuanya untuk berhadapan dengan isterinya mengenai perkahwinan mereka.

Tertuduh yang berdiri di pintu bilik tidur terus menunjukkan pisau dan mengayunkannya ke arah mangsa sambil mengeluarkan kata-kata ancaman.

Mangsa mula menangis manakala anak lelakinya yang turut berada di bilik itu cuba menenangkan tertuduh.

Mangsa kemudian membuat panggilan kepada pihak polis di mana dua anggota polis diarahkan untuk pergi ke rumah tersebut.

Tertuduh telah mengajukan pisau ke arah kedua-dua anggota polis yang cuba memberkasnya namun akhirnya menyerah diri.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Dayangku Hazirah binti Pengiran Mohd Yusof.

ARTIKEL YANG SAMA