Padang Turf NFABD bertaraf Piala Dunia

Padang Turf NFABD bertaraf Piala Dunia

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Okt – NFABD kini memiliki Padang Bola Sepak Rumput Tiruan (Turf) bertaraf Piala Dunia dengan kualiti “FIFA 2 Star Artificial Turf”, sama seperti padang yang digunakan sewaktu berlangsungnya Piala Dunia Remaja FIFA 2007 di Peru dan Piala Dunia Wanita FIFA 2015 di Kanada.

Padang di belakang NFABD House itu siap dibina dengan kos pembinaan AS$500,000 dari FIFA dan selebihnya dari sumber kewangan NFABD. Projek penyeliaan dan pembinaannya telah dilaksanakan oleh Limonta Sports SPA, syarikat dari Itali yang telah dilantik oleh FIFA. Pembinaan padang yang bermula dengan projek melapangkan tanah pada September 2014 sebelum pembinaan sebenar bermula Mac 2015 itu, telah siap sepenuhnya dan telah diserahkan secara rasmi oleh kontraktor kepada NFABD kelmarin, 17 Oktober.

Selesai penyerahan simbolik di NFABD House yang berkenan diterima oleh Presiden NFABD, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah berkenaan, Duli Pengiran Bendahara telah berkenan untuk terus melawat padang berkenaan.

Turut menyaksikan penyerahan bersejarah itu dan kemudiannya melawat padang ialah Pengurus Negara Anggota AFC, Mun Si Song, Setiausaha Agung AFF, Leftenan Jeneral (B) Dato’ Azzuddin Ahmad dan Setiausaha Agung NFABD, Haji Muhammad Zamri bin Dato Paduka Haji Hamdani.

Duli Pengiran Bendahara ketika melawat sekitar padang bola sepak NFABD yang bertaraf Piala Dunia berkenaan.
Duli Pengiran Bendahara ketika melawat sekitar padang bola sepak NFABD yang bertaraf Piala Dunia berkenaan.

Menerusi visi Duli Pengiran Bendahara sendiri yang memperkenalkan Projek Gol FIFA II, pembinaan padang bertaraf Piala Dunia yang dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan bermutu tinggi adalah dihasrat untuk membangunkan bola sepak di negara ini ke satu tahap lebih tinggi. Kegunaan utama padang itu adalah untuk menyediakan tempat bermain bola sepak berkeadaan baik dan sesuai dengan keadaan cuaca di negara ini bagi pembangunan berterusan pasukan-pasukan bola sepak NFABD: pasukan kebangsaan utama, pasukan-pasukan kebangsaan peringkat umur dan aktiviti bola sepak akar umbi di negara ini.

Selain itu, NFABD juga akan turut membuka tempahan kepada kelab/pasukan bola sepak tempatan yang berminat untuk menyewanya pada kadar harga $100 bagi setiap tiga jam, pada waktu-waktu di luar waktu latihan pasukan-pasukan bola sepak NFABD.

Untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai tempahan padang berkenaan, orang ramai boleh menghubungi NFABD House di talian 2380047 (Jabatan Teknikal) pada waktu pejabat dibuka iaitu Isnin hingga Jumaat dari pukul 9:00 pagi hingga 12:00 tengahari dan 2:00 petang hingga 5:00 petang.

ARTIKEL YANG SAMA