Padi benih baru dihasilkan

Padi benih baru dihasilkan

Oleh Normazlina M.D

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Jun – Sebuah syarikat tempatan, Syarikat Pakatan Mekar Hijau (SPMH) Sdn Bhd akan mencatatkan satu peristiwa penting dalam industri padi negara buat kali pertamanya dengan menghasilkan benih baru yang diperakui ketulenannya serta mempunyai benih padi berprestasi tinggi, yang akan membekalkan pengeluaran padi di negara ini.

Bagi menghasilkan benih yang diperakui itu bukanlah satu tugas yang mudah kerana ia tertakluk kepada ujian makmal yang ketat oleh kerajaan untuk memeriksa keaslian dan ketulenannya.

Oleh itu, untuk mencapai keaslian benih tersebut, pertumbuhannya juga perlu dipantau dan dikawal rapi daripada rumpai, penyakit, makhluk perosak dan perkara-perkara yang boleh memusnahkan benih tersebut.

Juruteknik Pertanian dari Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Dyg Khairunnisa bte Haji Omar menjelaskan SPMH adalah salah satu antara tiga buah syarikat yang telah dianugerahkan geran tanah seluas 10 hektar tanah pada 7 Julai 2014 di Kawasan Kemajuan Pertanian (KKP) Wasan oleh Jabatan Pertanian dan Agrimakanan bagi menghasilkan benih yang diperakui.

Pengarah Eksekutif SPHM, Dato Paduka Haji A. Jumat bin Haji Zakaria ketika ditemu bual berkata, pihaknya yakin bahawa benih pertama yang dihasilkan akan menghasilkan benih yang berkualiti semasa ujian makmal dijalankan.

Jentera yang digunakan oleh Syarikat Pakatan Mekar Hijau Sdn Bhd untuk menuai padi.
Jentera yang digunakan oleh Syarikat Pakatan Mekar Hijau Sdn Bhd untuk menuai padi.

Beliau menjelaskan perancangan awal untuk memulakan penanaman tersebut adalah selepas tanah itu diberikan, namun kerana masalah yang tidak diduga, penanaman padi telah mula dijalankan pada Februari 2016.

Sebelum ini, tanah itu pernah digunakan untuk bertanam buah-buahan, kerana itu tanah tersebut kurang sesuai untuk penanaman padi.

Namun atas kecekalan dan sikap optimis mereka, SPMH telah membuat pelaburan besar untuk memenuhi misi bagi menghasilkan dan membekalkan benih yang diperakui kepada Jabatan Pertanian dan Agrimakanan untuk diagihkan kepada penanam-penanam padi yang lain.

Dato Paduka Haji A.Jumat yang juga merupakan seorang petani dan pemilik ladang padi memberitahu, untuk mengeluarkan benih padi yang disahkan adalah tidak sama dengan penanaman padi untuk beras. Penanaman tersebut mestilah dipantau dan perlu diperiksa secara manual oleh juruteknik yang profesional bagi memastikan hasil pengeluaran benih yang asli, tulen dan berkualiti semasa musim menuai akan datang.

Sebelum diiktiraf sebagai benih yang diperakui, pegawai-pegawai pertanian akan mengambil sampel tersebut ke makmal untuk diuji bagi mengenal pasti ketulenannya.

“Kami berterima kasih kepada Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan kerana memberi peluang untuk menghasilkan dan membekalkan benih yang diperakui dan akan menyokong serta memberi kerjasama yang berterusan untuk mencapai misi mereka.

“Kami juga akan sentiasa komited untuk menyokong dan bekerjasama dengan kerajaan ke arah mencapai wawasan negara iaitu pengeluaran beras yang mencukupi.”

ARTIKEL YANG SAMA