Pagar Makan Padi

Pagar Makan Padi

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Dis – Seorang anggota pengawal keselamatan mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, hari ini atas pertuduhan pecah amanah.

Haji Abdul Aris bin Awang Haji Ismail, 35, didakwa melakukan pecah amanah bagi wang berjumlah $18,281.

Tertuduh diamanahkan oleh syarikatnya untuk membawa wang $60,841 di mana $18,281 didapati hilang ketika kenderaan G4S yang dinaiki tertuduh menuju ke Giant Rimba dari Hua Ho Tanjung Bunut pada 6 Disember kira-kira jam 8 malam.

Menurut fakta kes, tertuduh merupakan ketua krew petugas yang diarahkan bersama dua lagi rakan sekerjanya untuk membawa wang tersebut.

pg01_151230_mahkamah logo

Ketika menjalankan tugas untuk mengambil wang berjumlah $60,841 dari mesin simpanan wang Bank Standard Chartered (SCB) cawangan Tanjung Bunut, petugas G4S menutup beg mengandungi wang itu mengikut prosedur, dan kemudian meneruskan perjalanan ke mesin simpanan seterusnya.

Dalam perjalanan itu, tertuduh membuka beg itu dan mengambil wang berjumlah $18,281, dan memindahkan baki wang sebanyak $42,560 dalam beg baru.

SCB kemudian menyedari mengenai kekurangan wang itu, dan terus menjalankan siasatan dalaman.

Pihak bank kemudian membuat laporan polis, yang membawa kepada penangkapan kepada tertuduh.

Tertuduh mengaku telah menggunakan wang itu untuk keperluan sendiri dan juga untuk membayar hutang.

Polis menemui semula baki wang berjumlah $4,310 yang belum digunakan dan juga barang-barang bernilai $720 yang dibeli dengan menggunakan wang itu.

Ketua Majistret, Muhammad Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli menetapkan 30 Disember untuk sebutan hukuman.

ARTIKEL YANG SAMA