Pahang kekalkan momentum Liga Super

Pahang kekalkan momentum Liga Super

KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Pendahulu Liga Super, Pahang meneruskan rentak kemenangan mereka selepas menewaskan pasukan bawahan liga, Angkatan Tentera Malaysia 2-0 di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam ini.

Kemenangan ke-12 dilakar anak buah Zainal Abidin Hassan membolehkan pasukan itu terus menerajui carta Liga Super dengan 39 mata mata selepas 17 perlawanan, berkelebihan dua mata ke atas pencabar terdekat, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang turut mengutip tiga mata di laman sendiri.

Dalam aksi di Kuantan, Pahang mendahului seawal minit ke-15 menerusi penyerang import dari Nigeria, Dickson Nwakaeme sebelum dia menambah gol kedua pada minit ke-35 selepas menanduk masuk sepakan percuma R. Gopinathan.

Di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, JDT melakar kemenangan selesa 4-0 ke atas pasukan tercorot liga, Sime Darby.

Empat gol skuad Harimau Selatan dijaringkan pemain import dari Argentina, Luciano Figueroa pada minit ke-31 dan 68, Asraruddin Putra Omar pada akhir babak pertama dan Safiq Rahim, empat minit selepas babak kedua bermula.

Selangor pula memintas kedudukan wakil kelab Singapura, Lions XII di tangga keempat liga walaupun sekadar seri 1-1 dengan Sarawak di Stadium Negeri, Kuching. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA