Pahang rampas carta Liga Super

Pahang rampas carta Liga Super

KUALA LUMPUR, 16 Ogos (Bernama) – Pahang merampas kembali kedudukan teratas Liga Super daripada Johor Darul Ta’zim (JDT) walaupun sekadar seri 1-1 menentang Perak di Stadium Perak, Ipoh, Sabtu malam.

Skuad Tok Gajah berada di puncak liga menerusi kelebihan jaringan walaupun terikat 43 mata bersama JDT selepas 20 perlawanan setakat ini.

Pada aksi di Ipoh, Pahang membuka tirai jaringan menerusi pemain tengah, Mohd Hafiz Kamal pada minit ke-32 sebelum Bobby Gonzales menyamakan kedudukan untuk Perak pada minit ke-69.

Kejayaan Pahang naik kembali ke takhta Liga Super turut dibantu kekalahan 1-4 JDT kepada Kelantan di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Baharu.

Skuad The Red Warriors meraih jaringan menerusi Gilmar da Santos Filho seawal minit keempat dan 83, sepakan penalti ketua pasukan Mohd Badri Radzi pada minit ke-13 serta Mohd Nor Farhan Muhammad pada minit ke-51 manakala Mahali Jasuli menjaringkan gol saguhati JDT pada minit ke-50. Selangor pula kekal di tangga ketiga walaupun seri 1-1 menentang Lions XII di Stadium Jalan Besar, Singapura.

ARTIKEL YANG SAMA