Paintball Piala Dunia 2015 pada 29 Okt ini

Paintball Piala Dunia 2015 pada 29 Okt ini

ALOR SETAR, 12 Okt – Kira-kira 2,000 peserta dari 24 buah negara dijangka menyertai Kejohanan Paintball Piala Dunia 2015 di Langkawi, yang berlangsung selama tiga hari bermula 29 Okt ini.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata kejohanan edisi kelima anjuran bersama Kelab Belia Darul Aman dan Kelab Sukan Paintball Asia League itu, akan melibatkan 140 pasukan. Antara negara yang mengesahkan penyertaan adalah Emiriah Arab Bersatu, Taiwan, Nepal, Mexico, Kuwait, Iran, Norway dan Sweden.

“Hampir 65 peratus daripada penyertaan terdiri daripada pasukan luar negara,” katanya pada sidang media di Wisma Darulaman, di sini hari ini.

Beliau berkata pihak penganjur diberi penghormatan oleh badan paintball dunia, United Paintball Federation (UPBF) untuk menganjurkan kejohanan itu setelah mencatat rekod cemerlang penganjuran selama empat tahun berturut-turut, sebelum ini.

Mukhriz berkata ia juga merupakan kejayaan Malaysia selaku tuan rumah kejohanan berkenaan, sekali gus merealisasikan hasrat penganjur menjadikan Pulau Langkawi sebagai satu-satunya hab sukan paintball di Asia.

Beliau berkata penganjuran kejohanan itu juga mampu menjana pendapatan dari segi pelancongan di pulau bebas cukai itu, melalui kemasukan peserta dan pengunjung untuk menyaksikan kejohanan tersebut. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA