Paip bocor di Taman Anduki

Paip bocor di Taman Anduki

Oleh Hajah Saemah Kepli

SERIA, 10 Jun – Kebocoran saluran paip air di kawasan Taman Anduki di sini telah menarik perhatian pengunjung yang melakukan senaman setiap pagi di kawasan taman itu.

Kebocoran tersebut mengakibatkan air memancut dengan kuat di kawasan kerosakan dan mereka melihatnya sebagai satu pembaziran, selain keperluan air di kawasan taman tersebut mengalami tekanan air yang rendah.

Beberapa orang tukang kebun di taman tersebut memberitahu Media Permata bahawa mereka telah membuat aduan mengenai perkara sejak bulan Mac lalu, tetapi sehingga kini belum ada langkah-langkah dibuat untuk memperbaikinya.

Keadaan saluran air yang bocor mengakibatkan pancutan air yang kuat.
Keadaan saluran air yang bocor mengakibatkan pancutan air yang kuat.

Sementara itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) ketika dihubungi hari ini menjelaskan kerosakan ke atas paip 100 milimeter itu merupakan saluran yang membekalkan air ke kawasan Taman Anduki, dan ia pernah dibaikpulih pada awal tahun ini.

Bagaimanapun menurut jurucakap jabatan berkenaan, kemungkinan terdapat gegaran berlaku di kawasan berkenaan yang mengakibatkan paip kembali rosak.

Sehubungan itu pihak JKR, akan membaik pulih dengan segera kerosakan tersebut dan menyarankan kepada orang ramai untuk menghubungi talian Darussalam 123 untuk membuat laporan seperti itu pada masa akan datang, supaya ianya dapat diambil tindakan segera.

ARTIKEL YANG SAMA