Pajero Sport, L200 dilancar

Pajero Sport, L200 dilancar

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 April – Dua model kenderaan terbaru Mitsubishi iaitu SUV Pajero Sport dan L200 kini berada di pasaran Brunei dengan pelancarannya di The Mall, Gadong, semalam.

Pelancaran kedua-duanya telah disempurnakan oleh Pengarah Urusan GHK Motors, Yang Berhormat Pehin Kapitan Lela Diraja Dato Paduka Goh King Chin, dan Pengerusi GHK Motors, Pengiran Dato Shariffudin bin Pengiran Haji Matali.

Pada majlis pelancaran itu turut menyaksikan seorang pelanggan pertama, Hajah Raisah binti Haji Saban yang membeli kereta Mitsubishi Pajero Sport menerima baucar membeli-belah bernilai $500.

Pajero Sport merupakan model kedua Mitsubishi yang menggunakan rekan bentuk ‘Dynamic Shield’ di bahagian depan, yang menampilkan reka bentuk gril anggun berwarna krom reka bentuk tersendiri, ditambah lagi dengan lampu utama yang dilengkapi LED dan reka bentuk bampar baru.

Pajero Sport 2016 sebagai generasi ketiga SUV bersaiz sederhana bukan sahaja menampilkan reka bentuk luaran yang diperbaharui dan berkualiti tinggi, malah kejuruteraan, pengalaman pemanduan dan prestasi enjin juga dipertingkat, serta dimuatkan dengan sistem keselamatan yang mantap.

Yang Berhormat Pehin Kapitan Lela Diraja Dato Paduka Goh King Chin dan Pengiran Dato Shariffudin melancarkan Pajero Sport.
Yang Berhormat Pehin Kapitan Lela Diraja Dato Paduka Goh King Chin dan Pengiran Dato Shariffudin melancarkan Pajero Sport.
Orang ramai melihat lebih dekat Mitsubishi L200 2016.
Orang ramai melihat lebih dekat Mitsubishi L200 2016.

Antara teknologi terkini yang dilengkapi dalam Pajero Sport termasuk skrin sentuh dengan pemain CD, soket USB, Bluetooth, ‘Auto Dual A/C’, fungsi kawalan audio dan lain-lain pada stereng serta punat ‘Auto/Start Engine’.

Pajero serba baru ini dikuasakan dengan enjin turbo diesel 2.4L MIVEC yang digabungkan dengan transmisi automatik 8-kelajuan, direka khas untuk model tersebut.

Selain prestasi bahan api yang dipertingkatkan untuk mengurangkan penggunaan bahan api, kuasa dari enjin tersebut dihantar ke empat-empat roda melalui sistem pemanduan Super-Select 4WD-II four-wheel dengan mod ‘off-road’ dan kawalan ‘Hill Descent’.

Apa yang menarik dalam Pajero kali ini adalah dari segi sistem keselamatannya yang termasuk tujuh beg udara, sistem pengesan titik buta, ‘Hill Start Assist’, ‘Hill Descent Control’, sensor hujan, sistem ABS, ‘Electronic Brake Force Distribution’ (EBD), kamera dan sensor undur, serta paling penting struktur rangka Rein-forced Impact Safety Evolution (RISE).

Sebab itu, keluaran Pajero Sport terbaru ini telah menerima beberapa anugerah daripada ANCAP 2015, Latin NCAP dan penerima anugerah oleh OzRoamer’s 2015.

Manakala itu, L200 pula merupakan generasi kelima model pikap Mitsubishi dan dibangunkan sebagai trak utiliti sport terunggul.

Ia dikuasakan dengan enjin Diesel Intercooled Turbo-charged DOHC 2.5 Liter mengikut peraturan pengeluaran Eropah yang mampu mengangkut hampir apa sahaja.

L200 serba baru ini diubahsuai terutama pada bahagian depan yang hampir menyerupai reka bentuk Pajero Sport.

Walau bagaimanapun, pengubahsuaian dari segi ‘suspension’ membolehkan kenderaan tersebut dipandu dengan selesa dan stabil.

Kereta ini turut dimuatkan dengan transmisi 5-kelajuan manual dengan model ‘easy select’ 2WD-4WD dan muatan berat kargo sehingga 1.05 tan.

Bahagian dalaman pula, Mitsubishi dilengkapi kemudahan seperti skrin sentuh, fungsi kawalan melalui stereng, Bluetooth, USB/AUX dan tempat duduk fabrik berkualiti.

ARTIKEL YANG SAMA