Pakar belum mencukupi

Pakar belum mencukupi

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Mei – Pendidikan Kewangan Islam (Islamic Finance Education) menjadi sebuah agenda yang penting sejak dua dekad lepas di mana dalam dunia kewangan yang berkembang pantas dan kompetitif, institusi-institusi kewangan Islam hendaklah bersedia untuk menghadapi cabaran-cabaran dengan keupayaan kukuh untuk merebut peluang yang ditawarkan oleh persekitaran pasaran baru.

“Cabaran yang dimaksudkan termasuklah permintaan yang semakin tinggi daripada pelanggan-pelanggan yang menginginkan tawaran produk kewangan dan perkhidmatan nilai tambah pada harga yang lebih kompetitif dan perkhidmatan cemerlang pada tahap kecekapan yang tinggi.”

Perkara itu ditekankan oleh Pengarah Urusan Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD), Awang Yusof bin Haji Abdul Rahman, selaku Pengerusi Lembaga Pengarah-pengarah CIBFM Berhad, ketika berucap pada Majlis Tamat Pengajian bagi Program Profesional Fiqh Muamalat yang berlangsung di Dewan Indera Kayangan, Hotel Empire & Country Club, Jerudong, hari ini.

Beliau menyatakan lagi bahawa industri perkhidmatan kewangan Islam memerlukan pengetahuan dan kepakaran mendalam bukan sahaja di peringkat strategik dan pengurusan malahan juga di peringkat teknikal dan operasi.

“Kewangan Islam yang inovatif memerlukan profesional-profesional yang mempunyai kefahaman dan kemahiran dalam mengintegrasikan pengetahuan dan ideologi dalam menstrukturkan produk-produk dan perkhidmatan yang kompetitif dan patuh syariah.”

Awang Yusof memetik statistik Finance Accreditation Agency (FAA) yang menganggarkan bahawa kewangan Islam masih kekurangan hampir 56,000 orang profesional yang kompeten di peringkat global.

“Satu tinjauan yang dijalankan oleh FAA dan Islamic Finance News (IFN) pada tahun 2014 juga mendapati bahawa 80 peratus daripada responden bersetuju bahawa tenaga mahir dalam industri kewangan Islam tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan yang semakin meningkat di pasaran,” jelasnya lagi.

Awang Yusof menjelaskan lagi, bahawa jika dilihat dari perspektif usaha pembangunan kapasiti insan dalam kewangan Islam secara global, terdapat kira-kira 420 buah institusi yang menawarkan kursus-kursus dalam kewangan Islam dan lebih 113 buah universiti menawarkan ijazah berkaitan kewangan Islam menurut data daripada Islamic Corporation of the Development of the Private Sector (ICD).

“Negara-negara Asia dalam hubungan ini menyumbangkan sebanyak 43 peratus kepada pendidikan kewangan Islam global.”

Menyentuh mengenai dengan potensi kewangan Islam, Awang Yusof memetik terbitan Nota Perbincangan Kakitangan IMF bertajuk Islamic Finance: Opportunities, Challenges and Policy Options, yang diterbitkan pada April 2015, di mana penulisnya berpendapat bahawa kewangan Islam mempunyai potensi untuk membuat lebih banyak sumbangan dalam sekurang-kurangnya tiga dimensi.

Sumbangan-sumbangan itu adalah, ia menjanjikan penggalakan bagi financial inclusion, terutama sekali bagi penduduk Islam yang kurang mendapat perkhidmatan kewangan, penekanan untuk pembiayaan berdasarkan aset dan ciri perkongsian risikonya bermakna yang kewangan Islam boleh menyokong pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan juga pelaburan dalam infrastruktur awam serta ciri perkongsian risiko dan larangan spekulasi dalam kewangan Islam mencadangkan yang kewangan Islam itu mengandungi risiko sistemik yang kurang berbanding dengan kewangan konvensional.

Beliau menerangkan bahawa nota perbincangan itu hanya salah satu daripada pelbagai kajian yang membahaskan mengenai pentingnya kewangan Islam.

“Namun apa yang saya ingin tekankan di sini ialah, bagi membuahkan potensi-potensi kewangan Islam yang disebutkan oleh kajian IMF tadi, ianya memerlukan kapasiti insan yang tinggi dalam bidang berkenaan.

“Tahap pengetahuan dan latitud kemahiran keseluruhan tenaga kerja industri perkhidmatan kewangan Islam akan menjadi faktor penting dalam menentukan kejayaan dalam membina sektor kewangan Islam yang lebih cekap, berkesan dan dinamik secara keseluruhan,” tambah Awang Yusof lagi di mana kewujudan bakat manusia yang terlatih dan cekap merupakan kunci kepada prestasi industri.

Beliau juga menyatakan bahawa bagi negara ini usaha itu adalah selaras dengan Wawasan Brunei 2035 iaitu untuk menjadi sebuah negara yang diiktiraf di peringkat antarabangsa bagi pencapaian rakyatnya berpendidikan dan berkemahiran tinggi seperti yang diukur oleh piawaian antarabangsa yang tertinggi.

ARTIKEL YANG SAMA