Pakar beri amaran mengenai tindakan penyerang solo

Pakar beri amaran mengenai tindakan penyerang solo

KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Berikutan cara terbaru yang digunakan kumpulan pengganas Daesh untuk menyebarkan propaganda mereka melalui Internet, para pakar memberi amaran kepada rakyat Malaysia tentang bahaya serta ancaman penyerang solo yang menjalani radikalisasi kendiri.

Menurut mereka, rakyat Malaysia yang menganggotai kumpulan Daesh menyeru rakan senegara mereka supaya berjuang bersama kumpulan itu setelah kumpulan pengganas tersebut mengiktiraf kumpulan Abu Sayyaf yang berpangkalan di selatan Filipina sebagai sebahagian daripada anggota ‘khalifah’ Negara Islam.

Penganalisis politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Dr Maszlee Malik berkata, kini Daesh meng-galakkan penyokong mereka ‘berjihad’ di negara ma-sing-masing, tanpa perlu membentuk sebarang pertubuhan.

Beliau merujuk kepada video menggerunkan selama 21 minit yang dimuat naik di media sosial pada 23 Jun yang menyeru rakyat Malaysia supaya menyertai saudara mereka di Filipina yang diamanahkan Daesh menerajui ‘tentera khalifah’ tersebut.

Video itu menunjukkan rakyat Malaysia, Mohd Rafi Udin, juga dikenali sebagai Abu Aun al-Malysi, menyeru mereka yang bersimpati dengan Daesh, tetapi tidak dapat ke Mindanao, supaya melancarkan “jihad” mereka secara bersendirian di bumi Malaysia dengan menggunakan apa jua cara yang mereka mampu.

Mohd Rafi berkata mereka yang melafazkan sumpah taat setia kepada gerakan ‘khalifah’ itu, walaupun hanya dalam hati, perlu membunuh semua pihak yang menentang mereka, tanpa mengira tempat dan dengan apa jua cara sekali pun.

“Bunuhlah mereka di mana saja kalian ketemu mereka. Kalian punya kenderaan, langgarlah mereka. Kalian punya senjata atau hanya pisau kecil, tikamlah dada mereka. Jangan kalian takut,” kata Mohd Rafi dalam video itu.

Menurut Maszlee, apa yang jelas daripada video itu ialah Daesh menggalakkan penggunaan kaedah baharu untuk melakukan kemusnahan – serangan secara solo.

“Serangan solo dilakukan individu yang menjalani radikalisasi kendiri dan bersimpati dengan Daesh. Mereka sanggup melakukan serangan bersendirian dan menganggapnya sebagai suatu ‘jihad’.

“Inilah yang berlaku di Puchong. Seruan Rafi Udin itu jelas merupakan suatu perintahnya kepada penyerang solo. Ia bukan serangan yang diatur atau dirancang dengan kemas. Beberapa individu yang bersimpati de-ngan kumpulan itu menyahut seruan tersebut untuk melancarkan serangan secara bersendirian,” katanya.

Pada 28 Jun, 8 cedera apabila bom tangan meletup di sebuah pusat hiburan di Puchong. Polis kemudian mengesahkan letupan itu adalah angkara dua penyokong Daesh.

Ketika menyuarakan kebim-bangan serupa, pakar geostrategi Prof Dr Azmi Hassan berkata propaganda Daesh merupakan ‘lakonan kelas satu’ yang mampu menawan simpati orang ramai terhadap kumpulan itu.

Menurut beliau, ikrar taat setia kumpulan Abu Sayyaf terhadap Daesh akan mendorong mereka yang bersimpati dengan Daesh untuk menyertai kumpulan itu.–Bernama

 

ARTIKEL YANG SAMA