Pakar bermesyuarat sebaik sahaja pencarian MH370 selesai

Pakar bermesyuarat sebaik sahaja pencarian MH370 selesai

SINGAPURA, 15 Feb – Kalangan pakar akan bermesyuarat sekali lagi sebaik sahaja misi pencarian di dasar laut bagi pesawat Malaysia Airlines MH370 di selatan Lautan Hindi selesai, menurut Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Malaysia.

“Misi pencarian itu kemungkinan besar akan selesai pada Jun atau Julai tahun ini. Selepas itu, kami akan lihat apa langkah seterusnya,” kata Ketua Pengarah DCA Datuk Azharuddin Abdul Rahman kepada Bernama di luar Sidang Kemuncak Kepemimpinan Pertunjukan Udara Penerbangan Singapura di sini pada Isnin.

Beliau berkata kira-kira 90,000 km persegi daripada 120,000 km persegi kawasan pencarian telah diliputi setakat ini.

Ditanya sama ada kawasan pencarian akan diperluaskan, beliau berkata: “Pakar-pakar telah tentukan. Kami telah meliputi 99 peratus kebarangkalian … melangkauinya adalah tidak mungkin.

“Kami telah bersetuju (kawasan) 120,000 km persegi adalah tempat pesawat itu dipercayai berada.”

Misi pencarian pesawat MH370 sedang dijalankan bersama-sama Australia dan China. Empat buah kapal terbabit dalam pencarian itu.

Pesawat MH370 hilang daripada imbasan radar pada 8 Mac, 2014, semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal.

Pesawat Boeing 777 itu masih belum ditemukan walaupun misi pencarian besar-besaran dilakukan di selatan Lautan Hindi, tempat pesawat itu dipercayai berakhir selepas melencong daripada laluan asal. – Bernama