Pakar matematik kongsi formula menarik

Pakar matematik kongsi formula menarik

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Ogos – Lebih 100 pelajar Tahun 8 Sekolah Menengah Sultan Muhammad Jamalul Alam (SM SMJA) telah menghadiri Seminar Matematik bertema ‘Math Iz Fun’ yang bertujuan untuk menjadikan subjek itu seronok dipelajari.

Seminar sehari yang dianjurkan oleh sekolah berkenaan telah diadakan di Balai Ibadat SM SMJA, di sini, dengan dikendalikan oleh dua pakar motivasi matematik dari Malaysia, Sulaiman Abdul Rahman dan Addie Humaizie bin Abu Hassan dari Ilmas Tutorial & Training.

Sepanjang seminar itu, kedua-dua penceramah berkenaan menunjukkan bagaimana matematik boleh menjadi begitu seronok melalui permainan dan aktiviti-aktiviti yang menunjukkan formula kemahiran matematik yang menghiburkan.

Addie Humaizie semasa ditemui berkata seminar itu merupakan jemputan daripada sekolah berkenaan, dan syarikat mereka telah beroperasi di Brunei selama empat tahun.

“Tumpuan kami diutamakan kepada para pelajar untuk meningkatkan kemahiran mereka dalam bidang atau subjek matematik dengan cara menarik dan kreatif,” ujarnya.

Sulaiman Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Che Man ketika menerangkan tentang matematik.
Sulaiman Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Che Man ketika menerangkan tentang matematik.

Menurut beliau, tujuan mereka berada di sekolah berkenaan adalah untuk mengubah minda pelajar dan membuktikan kepada mereka bahawa matematik adalah mudah.

“Dari apa yang kita lihat, kanak-kanak pada zaman sekarang mempunyai tanggapan negatif terhadap matematik yang menjejaskan keupayaan mereka untuk belajar dan mengganggu menyelesaikan masalah matematik,” tambah Addie, sambil menambah jika mengajar dan menunjukkan bahawa matematik merupakan subjek yang menyenangkan dan menyeronokkan dengan cara yang lebih kreatif, beliau percaya kanak-kanak akan suka kepada subjek berkenaan.

Beliau menambah, seminar matematik ini juga berunsurkan keislaman, dari situ, kanak-kanak akan belajar dan lebih memahami dan menghargai matematik.