Pakar sosial setuju Pokemon Go diharamkan

Pakar sosial setuju Pokemon Go diharamkan

KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Seorang pakar sosial bersetuju agar permainan Pokemon Go diharamkan kerana ia dilihat banyak membawa implikasi buruk.

Pensyarah Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata permainan itu membuatkan seorang individu alpa dengan dunia nyata.

“Ia melalaikan dan membuat orang alpa dengan tugasan harian,” katanya dalam program ‘Dalam Radar’ terbitan Bernama Radio malam tadi.

“Beliau berkata pemain Pokemon Go terutama generasi muda lebih mengutamakan permainan tersebut berbanding berinteraksi bersama keluarga dan rakan mereka.

“Mereka kelihatan begitu teruja atau ghairah untuk menangkap binatang Pokemon dan dari situlah timbulnya persepsi negatif tentang aplikasi permainan ini,” katanya.

Pokemon Go berupa permainan realiti berperantaraan berasaskan lokasi yang dilancarkan pada 6 Julai lepas dan memasuki pasaran Malaysia dan lebih 30 negara lain bermula 6 Ogos.

Ia dibangunkan Niantic Incorporation of Nintendo USA yang memerlukan pemainnya mencari dan berlawan dengan karakter maya berdasarkan lokasi persekitaran sebenar melalui telefon pintar.

Semalam Jawatankuasa Fatwa Kedah memutuskan permainan Pokemon Go adalah haram untuk umat Islam kerana dilihat banyak mendatangkan kemudaratan.

Mufti Kedah Datuk Syeikh Muhamad Baderudin Ahmad berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat yang bermula 10 pagi sehingga 12:30 tengah hari di Pejabat Mufti Kedah, Anak Bukit,

Beliau berkata hasil perbincangan itu, mesyuarat merumuskan bahawa permainan Pokemon Go wajar dihalang, disekat serta dilarang kerana ia jelas mendatangkan kemudaratan kepada pemainnya.

“Perkataan halang, larang dan sekat ini sudah memberi erti haram malah lebih daripada itu …kalau haram sahaja tetapi tidak sekat orang akan main juga, jadi kita mahu lebih daripada itu.

“Jadi, kita mahu ia dihalang dan disekat oleh orang yang mempunyai kuasa terhadap perkara ini,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata Jawatankuasa Fatwa negeri juga akan mencadangkan kepada Jabatan Agama Islam Kedah untuk memasukkan isu permainan Pokemon Go di dalam khutbah Jumaat serta meletakkan papan tanda di kawasan masjid sebagai kawasan larangan untuk bermain Pokemon Go.– Bernama