Pakatan meriahkan persembahan pentas di Tutong

Pakatan meriahkan persembahan pentas di Tutong

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 20 Julai – Persembahan oleh Persatuan Bekas Kakitangan Kerajaan Daerah Tutong (Pakatan) membuka tirai persembahan pentas perayaan di Daerah Tutong yang diadakan bagi memeriahkan lagi suasana Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-70 Tahun.

Persembahan pentas tersebut diadakan di kawasan lapang berhadapan Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan turut disaksikan oleh Penolong Pegawai Daerah Tutong, Haji Haizul Rizal bin Haji Yahya.

Turut hadir ialah Yang Di-Pertua Pakatan, Dato Paduka Haji Ahmad bin Kadi bersama Pengerusi Bersama Penyelarasan, Persembahan Pentas Puja Usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-70 tahun.

Persembahan dimulakan dengan pembukaan Lagu Rasmi Pakatan iaitu ‘Teguh Bersatu Pakatan Kita’ diikuti dengan ucapan oleh Pengerusi, Haji Talipuddin bin Haji Mahari.

Antara persembahan ahli-ahli Pakatan di pentas perayaan Daerah Tutong.
Antara persembahan ahli-ahli Pakatan di pentas perayaan Daerah Tutong.

Malam tersebut menampilkan beberapa persembahan seperti nyanyian Melayu, persembahan Syair, Deklemasi Sajak dan persembahan Lagu Tradisional Melayu Brunei “Lanang Baladu Lanang’ yang jarang didengar pada masa ini.

Ia adalah bagi mengingati lagu-lagu yang hampir luput ditelan zaman, di samping memeriahkan lagi suasana serta untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara ahli-ahli Pakatan dan ahli Jawatankuasa Persembahan Pentas Perayaan Daerah Tutong pada tahun ini.

Majlis turut diserikan lagi dengan Kuiz Kenali Daerah Tutong dan Kuiz Bahasa Tutong. Majlis diakhiri dengan penyampaian sagu hati kepada penyumbang persembahan oleh tetamu kehormat majlis.

ARTIKEL YANG SAMA