Pakej adil, tiada diskriminasi

Pakej adil, tiada diskriminasi

KUALA LUMPUR, 3 Jun (Bernama) – Dakwaan layanan tidak adil oleh sebuah kesatuan Malaysia Airlines (MAS) dalam proses pemberhentian pekerja yang sedang berjalan, disifatkan sebagai membingungkan oleh sumber yang terlibat dalam proses itu.

“Kesatuan kebangsaan Atendan Penerbangan Malaysia (Nufam) berlaku ‘tidak jujur dan melakukan tipu helah yang licik’ yang pada satu tahap, secara sengaja mengetengahkan isu mereka tanpa mengambil kira hakikat sebenar isu berkenaan,” kata sumber itu.

Hari ini, Nufam mendakwa MAS menawarkan terma dan syarat pekerjaan semula yang tidak saksama kepada mereka yang terlibat, dengan ada dalam kalangan krew kabin yang sudah lama bekerja, termasuk mereka yang kini bercuti bersalin dan ibu tunggal, tidak diambil semula bekerja.

“Semua kesatuan dalam MAS dipanggil berbincang beberapa kali dan bersikap adil dan konstruktif dengan pihak pengurusan. Memang betul Nufam tidak dipanggil untuk berunding, namun Nufam tidak menyebut bahawa badan itu bukan kesatuan yang diperakui MAS,” kata sumber lain kepada Bernama.

Mereka berkata kesatuan terbesar MAS, Persatuan Pekerja-pekerja Malaysia Airlines System (Maseu), sentiasa membuat bantahan ke atas Nufam, dan ada kes undang-undang antara mereka.

“Oleh itu, bagaimana pengurusan boleh berunding dengan kesatuan yang tidak diperakui tanpa mengambil kira kesatuan krew kabin yang diperakui seperti Maseu?” tanya sumber itu.

Berasaskan hakikat bahawa tuntutan Nufam untuk perakuan masih dalam semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi, ia tidak diperakui oleh MAS dan oleh itu tidak dilibatkan dalam urusan membabitkan pekerja.Nufam juga mendakwa ibu tunggal dan kumpulan yang mudah terjejas ‘dilepaskan tanpa berhati perut’ oleh MAS, sedangkan hakikatnya kumpulan inilah yang akan memperoleh tambahan 30 peratus menerusi penyelesaian Perjanjian Kolektif (CA), yang diterima ramai sebagai tindakan bermurah hati MAS yang kini berhadapan kesukaran kewangan yang teruk, kata mereka.

Mengulas dakwaan bahawa MAS menamatkan perkhidmatan krew kabin yang cuti bersalin, sumber itu menjelaskan bahawa notis penamatan sah untuk tiga bulan, dan pekerja yang meninggalkan MAS, termasuk mereka yang cuti bersalin selama dua bulan, akan terus dibayar haji bulanan sepanjang tempoh notis dan menerima pakej penamatan pada September.

“Sudah diketahui umum bahawa MAS perlu menamatkan pekerjaan 6,000 petugas dalam penstrukturan semula itu. Ini sudah dimaklumkan Ogos tahun lepas, dan bulan lepas pengumuman dibuat bahawa semua pekerja akan mendapat surat pada 1 Jun. Oleh itu bagaimana nak menyimpan surat untuk petugas yang cuti bersalin sehingga mereka kembali bekerja?

“Buat salah, tak buat pun salah. Tidakkah pekerja ini tertanya-tanya mengenai status mereka sedangkan rakan yang lain sudah menerima surat masing-masing?

“Surat yang dihantar kepada mereka yang ditawarkan pekerjaan berbeza, tanpa menyatakan bahawa ia adalah berasaskan kepada formula yang disediakan untuk memberi lebih kepada pekerja baharu dan berjawatan tinggi dan kurang kepada pekerja pengurusan yang secara umumnya mendapat gaji yang lebih baik. Inilah keadilan dan belas ehsan dan bukan diskriminasi seperti yang didakwa oleh Nufam,” kata sumber itu.

Bagi Khazanah, pemilik MAS, penstrukturan itu dipandu oleh prinsip-prinsip keadilan, ketelusan dan belas ehsan yang termasuk hak untuk mengurangkan tenaga kerja menerusi proses yang teliti yang bermatlamat membuat keputusan yang adil dan telus. yang meninggalkan MAS pada 31 Ogos 2015 akan menerima pakej pemberhentian berasaskan formula yang sama dengan Perjanjian Kolektif sedia ada.

Pakej itu termasuk manfaat perubatan selama setahun dan pembayaran untuk cuti yang tidak dihabiskan.