Pakej perkahwinan di Tutong Food Con

Pakej perkahwinan di Tutong Food Con

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 1 April – Lebih 40 pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan menyertai acara Tutong Food Con yang berlangsung di kawasan Ruang Legar Hua Ho Petani Mall, Tutong, bermula hari ini sehingga 3 April.

Acara kali ini menampilkan pelbagai jenis sajian makanan dan minuman yang baru, sedap dan menyelerakan serta mempromosi produk majlis perundingan mukim dan kampung, Destinasi Tutong dan sebagainya.

Apa yang menariknya, Tutong Food Con turut menampilkan pakej Destinasi Tutong yang baru iaitu Pakej Walimatul Urus Destinasi Tutong yang merupakan produk perkhidmatan alternatif bagi mempelbagaikan aktiviti perniagaan Destinasi Tutong, yang mampu membuka peluang perniagaan dan pekerjaan kepada masyarakat di negara ini khususnya di Daerah Tutong.

Ahli-ahli Jawatankuasa Destinasi Tutong yang hadir bagi memperkenalkan Pakej Walimatul Urus pada acara Tutong Food Con kelmarin.
Ahli-ahli Jawatankuasa Destinasi Tutong yang hadir bagi memperkenalkan Pakej Walimatul Urus pada acara Tutong Food Con kelmarin.
Pakej Walimatul Urus termasuk Sesi Rias Muka bagi bakal pengantin.
Pakej Walimatul Urus termasuk Sesi Rias Muka bagi bakal pengantin.

Fokus utama pakej ini adalah menawarkan pakej perkhidmatan perkahwinan domestik yang melibatkan produk Satu Kampung Satu Produk (1K1P) Daerah Tutong sebagai campur atau cenderamata perkahwinan, persembahan kebudayaan MPM/K (Majlis Perundingan Mukim dan Kampung) Daerah Tutong, perkhidmatan juru solek, perkhidmatan fotografi, perkhidmatan katering dan lain-lain.

Tutong Food Con ini juga dijadikan sebagai satu asas atau platform untuk menyatupadukan masyarakat dan mengetengahkan potensi serta berbagai-bagai peluang pekerjaan dan perniagaan yang terdapat di daerah ini dalam inisiatif untuk sama-sama memajukan Daerah Tutong sebagai Daerah Destinasi yang indah, unik dan menarik.

Sehubungan itu, orang ramai dialu-alukan mengunjungi Tutong Food Con berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA