Pakej sewa kereta terbaik

Pakej sewa kereta terbaik

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Nov – Syarikat sewa kereta Better dengan rasminya dilancarkan hari ini dalam satu majlis di Pusat Membeli-belah Times Square Berakas, di mana Ekspo Kereta Better turut diadakan sehingga 4 Disember.

Pelancaran syarikat itu telah disempurnakan oleh Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Mustafa bin Haji Sirat.

Hadir sama pada majlis pelancaran berkenaan ialah pengerusi Autoriti Perlesenan Pengangkutan Bermotor, pegawai dan kakitangan kanan kerajaan, ketua-ketua pegawai eksekutif dan wakil daripada pengedar kereta.

Ekspo yang turut dilancarkan hari ini itu mempamerkan pelbagai jenis jenama kereta mewah dan sederhana termasuk Audi, BMW, Toyota, Hyundai dan Volkswagen.

Menurut Pengarah Urusan BIBD dan juga selaku Pengerusi Better, Mobashar Khokar, model perniagaan Better meskipun masih baru di Negara Brunei Darussalam akan tetapi sudah sekian lama wujud dan terkenal di negara-negara peneraju seperti United Kingdom memandangkan peraturannya sangat fleksibel untuk pelanggan dan rendah bayaran.

Tetamu kehormat melancarkan Syarikat Better Sdn Bhd sambil disaksikan oleh Mubashar Khokar. - Gambar Muiz Matdani
Tetamu kehormat melancarkan Syarikat Better Sdn Bhd sambil disaksikan oleh Mubashar Khokar. – Gambar Muiz Matdani

Syarikat Better ini antara lain bertujuan memberikan yang terbaik kepada pelanggan dengan pulangan yang menguntungkan serta tidak merugikan para penyewa.

Dengan menyediakan beberapa pakej, para penyewa berpeluang memilih kereta yang mereka kehendaki tanpa melalui pengurusan rumit, cukup hanya dengan menyediakan kad pengenalan pintar, kad kredit dan seterusnya memandu kereta yang disukai.

Pelan sewa kereta Better juga membolehkan para penyewa memilih pakej sewaan yang terbaik. Dengan sistem pelan ‘Pay-As-You-Go’, pelanggan tidak terikat dan boleh memilih pelan ‘Mileage’ yang sesuai untuk mereka.

Beliau juga berkata, seta-kat ini produk Syarikat Better mendapat sambutan yang cukup menggalakkan daripada korporat swasta dan kerajaan, kedutaan dan juga penduduk negara ini.

“Insya-Allah, Better juga sedang giat mengkaji untuk melebarkan dan meluaskan lagi model perniagaan ke pasaran antarabangsa,” tambahnya.

Sementara itu, menurut kenyataan yang dikeluarkan Syarikat Better, sistem penyewaan mereka sangat mudah, di mana pelanggan tidak lagi perlu melalui pelbagai urusan.

Syarikat Better juga menawarkan pengurusan penyelenggaraan kereta seperti memastikan tayar dalam keadaan selamat, pengurusan insurans dan banyak lagi.

Media Permata juga berkesempatan menemu bual salah seorang pelanggan, Dayangku Alliwaty Ashanti binti Pengiran Bahar Ali yang berkata, tawaran Syarikat Better memang sangat bagus bagi mereka yang memerlukan kereta tanpa perlu bersusah payah menyediakan pelbagai surat-suratan untuk kegunaan bank.

ARTIKEL YANG SAMA