Pakej unik percutian Temburong

Pakej unik percutian Temburong

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Sept – Dalam usaha berterusan bagi mempromosi Brunei Darussalam sebagai destinasi pelancongan yang unik, Jabatan Kemajuan Pelancongan di bawah Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, hari ini telah melancarkan lapan jenis pakej percutian Temburong tiga hari dua malam yang unik dan menarik.

Pakej yang dihasilkan melalui kerjasama Jabatan Kemajuan Pelancongan dengan Jabatan Daerah Temburong dan pengendali pelancongan Temburong itu dijual bermula hari ini (1 September 2016) dan disasarkan bagi tempoh cuti persekolahan bulan Disember akan datang.

Pelancaran pakej berkenaan telah disempurnakan oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong pada majlis yang berlangsung di Bangunan Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, di sini.

Dalam ucapan alu-aluannya, Yang Berhormat Dato menyeru semua pihak-pihak berkepentingan dalam pelancongan termasuk ejen-ejen pelancongan, syarikat penerbangan, pembekal penginapan dan juga masyarakat tempatan untuk meningkatkan dan bekerjasama dalam membangunkan Temburong dan destinasi pelancongan tempatan yang lain secara umumnya sebagai pilihan destinasi percutian.

Beliau juga melahirkan hasrat untuk menjadikan Daerah Temburong sebagai destinasi pelancongan utama di rantau ini dan di peringkat antarabangsa.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali ketika merasmikan Pakej Percutian Temburong.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali ketika merasmikan Pakej Percutian Temburong.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali ketika menyaksikan pameran produk-produk pelancongan.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali ketika menyaksikan pameran produk-produk pelancongan.

Ini, katanya lagi, adalah selaras dengan matlamat Jabatan Kemajuan Pelancongan untuk mengukuhkan tiga produk utama di negara ini yang merangkumi Daerah Temburong, Kampong Ayer dan Bandar Seri Begawan.

Diharapkan juga kempen berkenaan akan menggalakkan rakyat Brunei serta pelancong asing dan pelawat untuk pergi bercuti di destinasi tempatan.

Selepas ucapan tetamu kehormat, majlis diteruskan lagi dengan pelancaran Pakej Percutian Temburong dan juga tayangan video sebelum Yang Berhormat Dato dibawa menyaksikan pameran produk-produk pelancongan yang ada di majlis berkenaan.

Pameran antara lain mengetengahkan enam ejen pelancongan, Temburong Accomodation: Stoneville, Temburong MPK, Homestay: Seri Tanjung & Lubok Batu Mass, Katimahar, Mangrove Paradise, Kunyit 7, Sakam Enterprise dan Diving Tourism.

pg08_160902_c

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah ketua-ketua perwakilan luar negara, setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua kampung, wakil syarikat-syarikat penerbangan, ejen pelancongan serta pengusaha hotel.

Pakej percutian Temburong berkenaan menampilkan pilihan tempat-tempat tinggal menarik yang disediakan bagi berbulan madu seperti bermalam di Ulu-Ulu Resort yang mewah, detik-detik menarik di rumah persinggahan hutan hujan yang mencabar bagi keluarga atau menikmati pengalaman perkhemahan yang menyeronokkan bersama rakan-rakan di sepanjang tebing Sungai Temburong.

Pelancong yang membeli pakej-pakej berkenaan juga akan dapat memilih makanan tempatan yang unik dan lazat, di samping menikmati pemandangan dan bunyi-bunyi di hutan hujan tropika yang asli.

Pakej tersebut juga termasuk pilihan aktiviti kembara seperti berkayak, flying fox, merentas hutan dan lain-lain; serta aktiviti-aktiviti kebudayaan seperti lawatan ke rumah panjang tradisional di mana pengunjung akan berpeluang bertemu dengan ‘Tuai Rumah’ dan mengalami hospitaliti sebenar budaya masyarakat Iban.

ARTIKEL YANG SAMA