Pakistan, Afghanistan tutup sempadan

Pakistan, Afghanistan tutup sempadan

ISLAMABAD, 13 Mei (Xinhua) – Pakistan berkata semalam ia telah menutup sempadannya dengan Afghanistan “untuk melaksana langkah kawalan sempadan.”

Pihak berkuasa Pakistan menutup sempadan pada Selasa selepas tentera Afghan menghalang rancangan Pakistan untuk memagar sempadan bertujuan menghalang pergerakan antara sempadan yang tidak dibenarkan.

Duta Afghan di Islamabad, Omar Zakhilwal, juga mengesahkan penutupan sempadan di Torkham dan berkata rundingan di antara pegawai Pakistan dan Afghan untuk membukanya semula menemui kegagalan semalam.Beribu-ribu orang dan banyak trak terkandas di kedua-dua kawasan sempadan, kata saksi di kawasan itu.

“Lintasan yang tidak dibenarkan dan isu lain menimbulkan cabaran besar kepada kedua-dua negara. Untuk mengatasi keadaan tersebut, Kerajaan Pakistan telah memutuskan untuk melaksana langkah kawalan sempadan di Torkham untuk pengurusan sempadan yang efektif,” kata Kementerian Luar di Islamabad.

“Kedua-dua negara berminat mempunyai sempadan yang dikawal dengan baik. Timbulnya percanggahan pendapat di antara kedua-dua pihak mengenai pelaksanaan langkah-langkah untuk mengendali dan mengawal sempadan, disebabkan sempadan telah ditutup buat sementara waktu,” kata jurucakap Nafees Zikriya.

Beliau berkata kedua-dua pihak sedang berkomunikasi di antara satu sama lain menerusi saluran tentera untuk mengatasi isu berkenaan. Pakistan dan Afghanistan mempunyai sempadan sepanjang hampir 2,600 kilometer, kebanyakannya poros, dan lintasan yang tidak dibenarkan sentiasa menjadi sumber ketegangan di antara kedua-dua negara.

Duta Kabul di Islamabad berkata pegawai kementerian pertahanan dan dalam negeri Afghan mengadakan rundingan dengan wakil Pakistan untuk menyelesai masalah Torkham. Bagaimanapun, rundingan berakhir tanpa sebarang keputusan dan sempadan masih ditutup untuk hari ketiga.

ARTIKEL YANG SAMA