Pakistan bantah ucapan setiausaha NATO

ISLAMABAD, 10 Nov – Pakistan semalam menolak kenyataan Setiausaha Agung Nato Jens Stoltenberg baru-baru ini yang mengatakan bahawa Taliban masih mempunyai pangkalan di Pakistan yang disifatkannya sebagai ‘cabaran besar’ ke atas usaha yang bertujuan mewujudkan keamanan dan kestabilan di Afghanistan.

“Kita mesti menangani cabaran besar yang mana Taliban, para pemberontak juga sedang berusaha di luar pangkalan-pangkalan di Pakistan. Dan kami telah membangkitkannya beberapa kali,” Stoltenberg memberitahu para pemberita di ibu pejabat Nato di Brussels Selasa lalu.

Jurucakap Kementerian Luar Pakistan Muhammad Faisal menolak dakwaan itu pada sesi penerangan mingguannya.

“Kami benar-benar menolak dakwaan tidak berasas tentang pangkalan-pangkalan di Pakistan.

“Tidak ada pangkalan sebarang pertubuhan pengganas di mana-mana kawasan di negara ini. “

Kenyataan yang mengelirukan itu adalah tidak produktif dan menjejaskan,” menurut jurucakap itu apabila ditanya tentang ulasannya mengenai tuduhan setiausaha agung NATO bahawa Pakistan melindungi pengganas dan tempat perlindungan pengganas di wilayahnya.

“Pakistan telah melakukan pengorbanan dari segi nyawa dan hartanah yang tidak ada bandingnya, dalam memerangi pengganasan.

Tidak ada negara yang melakukan lebih dari Pakistan atau lebih terjejas dari Pakistan dalam memerangi pengganasan,” menurut jurucakap itu.

Tentang persoalan isu pertambahan pasukan tentera di Afghanistan oleh NATO, dia berkata Pakistan sebelum ini telah membuat banyak kenyataan berhubung isu ini.

“Pakistan percaya tidak ada penyelesaian tentera kepada konflik Afghanistan dan penyelesaian politik adalah mustahak demi keamanan dan kestabilan yang berkekalan.

Adalah sangat penting bagi Afghanistan bagi mewujudkan keamanan bersama negara jirannya,” ujarnya.

Jurucakap itu berkata Pakistan telah menjalankan operasi pencegahan pengganasan yang berjaya dan menyeluruh dalam tempoh empat tahun lalu sejajar dengan keazaman kebangsaannya sendiri untuk menghindari negara dari pengganasan. – Xinhua