Pakistan batal tegahan ke atas YouTube

Pakistan batal tegahan ke atas YouTube

ISLAMABAD, 19 Jan – Pakistan semalam berkata ia telah membatalkan tegahan tiga tahun ke atas YouTube selepas laman sesawang perkongsian video milik Google itu melancarkan versi tempatan yang membolehkan kerajaan untuk menuntut pengalihan keluar bahan yang dianggapnya menjelikkan.

Pakistan telah menegah laluan masuk ke YouTube pada September 2012 selepas filem anti Islam “Innocence of Muslims” dimuat naik ke laman itu, yang mencetuskan bantahan ganas di seluruh bandar besar di negara itu yang mempunyai 190 juta penduduk yang majoritinya beragama Islam.

Di bawah versi baru YouTube, Autoriti Telekomunikasi Pakistan (PTA) boleh meminta supaya bahan yang menjelikkan disekat, Kementerian Teknologi Maklumat dan Telekom berkata dalam satu kenyataan.

“Pada rekomendasi PTA, kerajaan Pakistan telah membenarkan kemudahan ke versi YouTube negara yang baru dilancarkan itu, bagi para pengguna Internet di Pakistan,” menurut kementerian itu.

Kerajaan boleh meminta Google untuk menyekat kemudahan laluan kepada bahan kurang elok dipandang bagi para pengguna dalam Pakistan dan kementerian itu berkata Google dan YouTube akan ‘sewajarnya mengetatkan kemudahan itu’ bagi para pengguna Pakistan. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA