Pakistan harap hubungan dua hala dengan Malaysia dipertingkat

Pakistan harap hubungan dua hala dengan Malaysia dipertingkat

KUALA LUMPUR, 8 Sept – Pakistan berharap hubungan pertahanan dua hala yang terjalin sejak sekian lama dengan Malaysia dapat dipertingkatkan lagi, terutama dalam aspek latihan anggota dan memerangi keganasan, kata Penasihat Pertahanan di Suruhanjaya Tinggi Pakistan di Malaysia, Komodor Jawad Ahmed.

“Kami juga mahu meningkatkan kerjasama dalam latihan ketenteraan, pertukaran anggota dan perkongsian maklumat,” katanya kepada Bernama pada majlis sambutan Hari Angkatan Tentera Ke-50 Pakistan di sini Isnin malam.

Beliau berkata Pakistan juga teruja untuk mengambil bahagian dalam Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2016 yang ke-15 akan datang, dikenali sebagai antara lima pameran pertahanan terbesar di dunia, selepas menyertai pameran itu pada 2014 dengan jayanya.

Katanya mengambil bahagian dalam acara dua tahun sekali itu akan membuka ruang bagi kerjasama lebih baik antara industri pertahanan kedua-dua negara.

“Pakistan juga mempunyai pameran serupa (Pameran dan Seminar Pertahanan Antarabangsa). Ini merupakan satu daripada aspek yang membolehkan saya untuk belajar antara satu sama lain,” katanya.

Mengenai Hari Angkatan Tentera, Jawad berkata ia disambut setiap tahun pada 6 Sept bagi memperingati keberanian dan jasa Angkatan Tentera Pakistan semasa perang dengan India pada September 1965.

Menurut laporan, 4,000 tentera Pakistan terkorban dalam perang itu.

Dalam ucapannya pada majlis itu, Jawad merakamkan penghargaan kepada mereka yang terkorban, di samping menonjolkan kejayaan angkatan tentera dalam membanteras keganasan di negara itu, terutama selepas serangan ke atas sekolah di Peshawar yang meragut nyawa 150 orang dan mencederakan lebih 120 orang pada Disember tahun lepas.

Antara tetamu pada majlis itu ialah Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, Pesuruhjaya Tinggi Pakistan di Malaysia Syed Hasan Raza, para diplomat dan orang kenamaan Pakistan dan Malaysia. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA