Pakistan, Rusia tandatangani persetujuan talian paip

Pakistan, Rusia tandatangani persetujuan talian paip

ISLAMABAD, 16 Okt (AFP) – Pakistan dan Rusia menandatangani perjanjian hari ini untuk membina talian paip gas beratus-ratus kilometer dari Karachi di Lautan Arab ke bandar timur, Lahore.

Menteri Tenaga Rusia Alexander Novak dan Menteri Petroleum Pakistan Shahid Khaqan Abbasi telah menandatangani perjanjian itu pada satu majlis yang disaksikan oleh Perdana Menteri Pakistan Nawaz Sharif dan disiarkan secara langsung melalui televisyen.

Para pegawai berkata projek saluran paip gas Utara-Selatan itu akan dibina oleh syarikat Rusia, RT Global Resources – sebahagian perbadanan kerajaan Rusia, Rostec.

Saluran paip sepanjang 1,100 kilometer itu dengan kapasiti 12.4 bilion meter isi padu setahun, akan menghubungkan terminal gas cecair asli (LNG) di Karachi dengan terminal di Lahore.

Rusia akan melabur kira-kira $2 bilion dalam saluran paip dan fasa pertamanya dijangka selesai menjelang Disember 2017, menurut seorang pegawai kanan kerajaan memberitahu AFP.

Rusia telah lama menjadi pembekal persenjataan terbesar kepada negara nuklear musuh ketat India ini, yang menjadi pembeli senjata terbesar dunia. Tetapi kini Moscow nampaknya beralih ke arah Islamabad ketika New Delhi menjadi sekutu lebih rapat dengan Washington.

Agensi berita Rusia, ITAR-TASS pada Jun melaporkan bahawa negara itu telah menarik balik sekatan ke atas bekalan senjata ke Pakistan dan sedang mengadakan rundingan berhubung membekalkan Islamabad dengan helikopter gempur.

Sharif pada ketika itu telah menjemput syarikat-syarikat Rusia untuk melabur di Pakistan, terutamanya dalam sektor tenaga, dan meraih manfaat dari dasar mesra perniagaan kerajaan itu.

Negara Asia Selatan itu benar-benar menginginkan penyelesaian kepada krisis tenaga yang berpanjangan yang telah menjejaskan pertumbuhan ekonomi dan mengakibatkan penduduknya seramai 200 juta amat kecewa dengan pemotongan tenaga yang tidak henti-henti.

ARTIKEL YANG SAMA