Pakistan serah senarai Taliban

Pakistan serah senarai Taliban

ISLAMABAD, 10 Jan (AFP) – Rundingan empat hala yang dihasratkan untuk memulihkan dialog antara Kabul dan Taliban Afghanistan akan diadakan di Islamabad pada Isnin, menurut pegawai, dengan pihak berkuasa Pakistan ditetapkan untuk mendedahkan senarai pemberontak yang bersedia untuk berunding.

Pertemuan antara perwakilan daripada Afghanistan, Pakistan, China dan Amerika Syarikat itu diumumkan pada Disember namun para pegawai Pakistan hanya mengesahkan tarikhnya hari ini, yang dikatakan sebelumnya ia mungkin akan diadakan pada bulan ini.

Rundingan yang digelar ‘rangka kerja’ antara empat kuasa dimaksudkan untuk menetapkan persediaan asas bagi dialog langsung antara Kabul dan kumpulan Islamis, yang pemberontakan berdarah tidak menunjukkan tanda berakhir setelah lebih 14 tahun kumpulan disingkirkan daripada kuasa oleh pasukan gabungan yang diketuai AS.

“Berdasarkan persetujuan empat hala, mesyuarat pada Isnin itu akan membincangkan mekanisme bagi rundingan damai,” kata jurucakap bagi Ketua Eksekutif Abdullah Abdullah, Javed Faisal memberitahu AFP.

“Kerajaan Pakistan akan menyerahkan senarai Taliban yang bersedia untuk berunding dan mereka yang tidak berminat dalam rundingan,” tambahnya.

Seorang pegawai kanan di kementerian luar negeri Pakistan mengesahkan mesyuarat itu, menambah bahawa Islamabad akan diwakili oleh setiausaha luarnya, Aizaz Ahmad Chaudhry sementara Afghanistan akan diwakili oleh timbalan menteri luar Hekmat Khalil Karzai.

Pusingan pertama rundingan damai Taliban telah diadakan pada Julai namun terhenti selepas Taliban terlambat mengesahkan kematian pengasas mereka Mullah Omar.

Berita kematiannya itu membawa kepada persaingan antara ketua-ketua kanan Taliban dan ketua baru kumpulan, Mullah Akhtar Mansour, yang sebaliknya membawa kepada kewujudan puak baru yang diketuai oleh Mohamed Rasool pada November.

Menurut Faisal, jurucakap itu: “Pakistan telah bersetuju membatalkan bantuan kewangan kepada pejuang Taliban, termasuk di Quetta dan Peshawar.”

Tambahnya lagi, tidak akan ada Taliban yang akan hadir pada mesyuarat pada Isnin.

ARTIKEL YANG SAMA