Palace gagal guna kelebihan

Palace gagal guna kelebihan

LONDON, 14 April (AFP) – Crystal Palace terus menjarakkan kedudukan dari kelompok tiga tercorot Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan 11 mata, namun gagal memanfaat kelebihan di laman sendiri selepas sekadar seri 0-0 bertemu Everton, semalam.

Pada pertembungan yang menemukan dua pasukan yang sudah layak ke separuh akhir Piala FA itu, Everton terpaksa beraksi kurang seorang pemain di Selhurst Park pada awal babak kedua selepas James McCarthy dibuang padang.

Kemenangan pasti meningkatkan peluang Palace untuk terus beraksi di liga elit itu, namun keputusan seri yang dilakar itu membuktikan masih banyak yang perlu dilakukan kelab dari Selatan London berkenaan.

Selepas mencatat kemenangan 1-0 ke atas Norwich City, Sabtu lalu yang juga kemenangan pertama Palace di EPL pada 2016, pengurus Palace, Alan Pardew berkata: “Saya memperoleh empat mata daripada dua perlawanan terakhir… namun wow, kami sepatutnya menang.

“Sekalipun saya kecewa, saya gembira dengan satu lagi persembahan yang baik. Saya mahu penyerang saya lebih tajam.

Pemain Crystal Palace, Jason Puncheon (kanan) merembat bola ke arah gawang Everton dalam aksi Liga Perdana di Selhurst Park, London, kelmarin. – AP
Pemain Crystal Palace, Jason Puncheon (kanan) merembat bola ke arah gawang Everton dalam aksi Liga Perdana di Selhurst Park, London, kelmarin. – AP

“Bagaimanapun saya gembira dengan dua keputusan tanpa bolos. Mata itu penting, saya tidak fikir kelab tiga tercorot mampu mengejar kami ketika ini.”

Pengurus Everton, Roberto Martinez pula berkata: “Ia lebih daripada keputusan yang baik. Sentiasa sukar untuk bermain dengan corak permainan mereka. Apabila kamu melakukannya dengan 10 pemain, ia jelas amat positif,” katanya.

Jason Puncheon merupakan pemain Palace pertama menguji penjaga gol Everton Robles, yang mempunyai rekod yang baik.

Sementara itu, penjaga gol Palace Wayne Hennessey pula berjaya menghalang percubaan Seamus Coleman dan Romelu Lukaku.

Everton dikurangkan kepada 10 orang pada minit ke-52 apabila McCarthy, yang menerima kada kuning pada babak pertama kerana mengasari Yohan Cabaye, mengasari Yannick Bolasie untuk mendapat kuning kedua, sekali gus menyaksikan dia dibuang padang.

ARTIKEL YANG SAMA