Palang Merah serah bantuan ke Damsyik

Palang Merah serah bantuan ke Damsyik

DAMSYIK, 19 Mei (NNN) – Bantuan dari Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Syria memasuki kawasan kepungan di pinggir bandar Damsyik, Harasta buat pertama kali dalam empat tahun semalam, menurut seorang jurucakap.

Beberapa trak konvoi bersama dengan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu membawa makanan, peralatan kebersihan dan ubat-ubatan bagi seluruh penduduk Harasta kira-kira 10,000 orang, Pawel Krzysiek berkata dalam satu keterangan.

Harasta berada dalam rantau Timur Ghouta, timur Damsyik, yang berada di bawah kawalan pemberontak. Ia adalah salah satu daripada beberapa kawasan di seluruh ibu negeri Syria di mana dikepung oleh tentera-tentera kerajaan.

Dalam hal berkaitan, satu serangan udara pihak rejim telah mengorbankan sekurang-kurangnya 13 ahli dalam keluarga yang sama, termasuk lapan kanak-kanak, di tengah Syria semalam, menurut pihak pemerhati.

Serangan itu terkena di kawasan kediaman kejiranan di Rastan, salah satu kubu kuat terakhir pihak pemberontak di tengah wilayah Homs, ujar Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria.

Angka kematian mungkin meningkat apabila beberapa orang lagi dilaporkan hilang dan beberapa lagi mengalami kecederaan parah, kata pemerhati Britain itu.

Kumpulan-kumpulan pemberontak menawan Rastan dalam tahun 2012 dan bandar itu telah berada dalam pengepungan penuh oleh tentera-tentera rejim, yang mengawal kebanyakan kawasan di wilayah Homs, sejak bermulanya tahun ini.

Pihak Pemerhati bergantung pada sumber-sumber rangkaian luas di Syria untuk mengumpul maklumat-maklumatnya pada konflik selama lima tahun itu, yang telah mengorbankan lebih daripada 270,000 orang dan membuatkan jutaan kehilangan tempat tinggal.

Ia berkata ia menentukan sama ada serangan-serangan itu dijalankan oleh Syria, Rusia atau pesawat pakatan yang diketuai AS berdasarkan lokasi serangan, corak penerbangan dan jenis-jenis pesawat dan peluru yang digunakan.