Palau berdepan keadaan kering-kontang

Palau berdepan keadaan kering-kontang

KOROR, Palau, 4 April (AFP) – Palau mungkin mengalami keadaan kering-kontang pada bulan ini, pegawai mengingatkan tatkala pulau Pasifik itu merayu bantuan dari Jepun dan Taiwan, termasuk penghantaran air.

Negara kecil dengan kira-kira 18,000 penduduk itu mengisytiharkan keadaan darurat pada bulan lalu, negara pulau Pasifik terbaru yang berbuat demikian tatkala kemarau berpunca daripada El-Nino paling teruk di rantau itu bertambah buruk.

“Kami masih berada dalam keadaan darurat, timbulnya rasa terdesak untuk mengatasi krisis ini,” beritahu seorang jurucakap kerajaan kepada AFP ketika Jawatankuasa Kecemasan Negara (NEC) bertemu untuk membincangkan strategi. Satu laporan NEC yang disediakan untuk Presiden Tommy Remengesau menawarkan prospek suram untuk negara tersebut.

“Berdasarkan paras air sekarang dan kadar penggunaan, dan mengandaikan keadaan berlarutan, bekalan air terputus mungkin berlaku dalam tempoh dua hingga tiga minggu akan datang,” katanya.

Kemudahan mendapatkan air paip telahpun dicatu kepada tiga jam sehari atau kurang di ibu negara Koror dan sekolah hanya dibuka setengah hari disebabkan mereka tidak dapat memberikan pelajar minuman yang cukup.

“NEC telah berhubung dengan kerajaan Jepun dan Taiwan berhubung laporan bahan dan peralatan, serta penghantaran air seperti yang diperlukan,” katanya.

Kedutaan Jepun di Palau mengesahkan ia telah menerima satu permohonan bantuan dan perbincangan masih diteruskan mengenai bentuk bantuan yang akan diberikan. Palau juga menjangka bantuan daripada Taiwan, salah satu daripada beberapa negara yang mengekalkan hubungan diplomatik dengan Taipei ketika menghadapi tentangan dari China.

Laporan NEC menambah tentera AS telah diminta untuk membekal sistem penapisan air mudah alih untuk mengurangkan keadaan terdesak.

ARTIKEL YANG SAMA