Palau isytiharkan darurat akibat kemarau

Palau isytiharkan darurat akibat kemarau

KOROR, Palau, 23 Mac (AFP) – Palau menjadi negara terbaharu di kepulauan Pasifik mengisytiharkan darurat hari ini, selepas bergelut dengan kemarau melampau sejak beberapa bulan lalu.

Presiden Tommy Remengesau berkata, hujan di ibu negara Koror sejak empat bulan lalu mencatat jumlah terendah dalam tempoh 65 tahun dan satu-satunya empangan di bandar ini sudah kering.

Beliau berkata, satu-satunya sumber air minuman lain di Koror, Sungai Ngerikiil, turun kepada kapasiti 19 peratus.

“Menurut laporan cuaca, keadaan kemarau akan berterusan di semua pulau-pulau dan kepulauan Palau, dengan purata hujan di bawah paras sederhana dijangkakan dalam tempoh dua hingga tiga bulan akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.

Catuan air telah diperkenalkan di Koror pada awal bulan ini, dengan penduduk hanya boleh menggunakan paip selama enam jam sehari.

Pentadbiran Laut dan Atmosfera AS Kebangsaan (NOAA), minggu lalu berkata, kemarau berpunca daripada sistem cuaca El Nino.

“Salah satu peristiwa El Nino yang terkuat dalam sejarah masih berakar umbi di seluruh khatulistiwa Lautan Pasifik,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA