Palestin bakar tempat ‘suci’ Yahudi

Palestin bakar tempat ‘suci’ Yahudi

BAITULMAQDDIS, 16 Okt – Penduduk Palestin telah membakar sebuah kawasan yang dihormati oleh orang Yahudi di Tebing Barat semalam, menurut sumber Israel dan Palestin hari ini, di tengah gesaan bagi bantahan baru selepas kekacauan yang mengakibatkan kematian yang telah berterusan lebih dua minggu.

Video menunjukkan apa yang nampaknya seperti kebakaran besar di sebuah kawasan di bandar utara, Nablus, dikenali sebagai kubur Joseph, dan tentera Israel menyifatkan serangan itu ‘tindakan pencemaran yang keji’.

Orang Palestin telah menggesa bagi ‘Revolusi Jumaat’ terhadap Israel dan polis Baitulmaqddis menegah lelaki berusia di bawah 40 tahun dari mengerjakan solat Jumaat di masjid Al-Aqsa, dalam usaha menjauhi para pembantah muda.

Pasukan keselamatan Israel dikerah secara besar-besaran di Baitulmaqddis selepas serangan Palestin selama dua minggu di bandar itu dan seluruh Israel.

Majlis Keselamatan PBB akan mengadakan mesyuarat tergempar atas permintaan Jordan pada hari ini untuk membincangkan tentang meningkatnya keganasan. Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu semalam mengulangi kesediaannya untuk menemui pemimpin Palestin Mahmud Abbas, sementara menuduhnya mengapiapikan dan menggalakkan keganasan.

“Sudah tiba masanya Presiden Abbas untuk bukan saja berhenti mewajarkannya, tetapi juga berhenti menggesanya,” Netanyahu memberitahu para pemberita.

Setiausaha Negara AS, John Kerry juga memberi amaran pemimpin Palestin supaya tidak mengapi-apikan keganasan.

Abbas telah menggesa bagi bantahan aman, tetapi belia-belia Palestin yang kecewa tidak mengendahkan cubaan untuk mewujudkan ketenangan. Israel akan mengerah kira-kira 300 tentera bermula Ahad untuk mengukuhkan pasukan polis yang semakin lemah ekoran kekacauan. Kali terakhir tentera dikerah dalam bilangan ramai ialah pada tahun 2002, ketika kebangkitan kedua, menurut sumber keselamatan.

ARTIKEL YANG SAMA