Palini, Guardini tempah nama di LTdL

Palini, Guardini tempah nama di LTdL

GEORGE TOWN, 25 Feb (Bernama) – Penunggang Skydive Dubai Pro Cycling Team, Andrea Palini, menjuarai peringkat kedua perlumbaan Le Tour de Langkawi 2016 melibatkan jarak 158.1km dari Sungai Petani ke Georgetown hari ini.

Ketua hakim, Ibrahim Omar mengisytiharkan 10 pelumba terpantas mencatat masa sama iaitu 3 jam, 56 minit dan dua saat ketika melintas garisan penamat.

Rakan senegara Andrea, Andrea Guardini daripada Astana Pro Team, menduduki tempat kedua, tetapi mengekalkan jersi kuning sebagai pemenang keseluruhan.

Tempat ketiga dimenangi pelumba Afrika Selatan, Reinardt J V Rensburg daripada pasukan Dimension Data.

Penunggang China, Wang Meiyin daripada Hengxiang Cycling Team, mengekalkan jersi polka dot sebagai Raja Bukit dan jersi putih sebagai pelumba terbaik Asia, walaupun gagal menghabiskan perlumbaan bersama 10 pelumba terpantas hari ini.

Andrea Palini (kiri) bersaing dengan Andrea Guardini (kanan) pada peringkat kedua Sungai Petani-Georgetown perlumbaan Jelajah Le Tour de Langkawi hari ini. Andrea Palini muncul juara pada peringkat ini. – Bernama
Andrea Palini (kiri) bersaing dengan Andrea Guardini (kanan) pada peringkat kedua Sungai Petani-Georgetown perlumbaan Jelajah Le Tour de Langkawi hari ini. Andrea Palini muncul juara pada peringkat ini. – Bernama

Sementara itu, perlumbaan peringkat pertama pula telah dimenangi oleh pelumba Astana Pro Team, Andrea Guardini dengan mencipta sejarah tersendiri apabila memenanginya sejauh 166.6 kilometer dari Kangar ke Baling, pada Rabu.

Kemenangan tersebut menyaksikan pelumba berusia 26 tahun dari Itali itu meraihkan kemenangan perlumbaan peringkat untuk kali ke-19, selepas menang lima kali pada edisi 2011, enam (2012), tiga (2014) dan empat (2015).

Lebih menarik, Guardini turut mendapat dua jersi – kuning bagi keseluruhan dan teal untuk Raja Pecut selepas mengutip 15 mata di zon pecut di Tunjang, Kuala Nerang dan Sik.

Bercakap kepada pemberita selepas perlumbaan, Guardini berkata beliau gembira memulakan kempen dalam perlumbaan basikal berprestij Asia itu dengan keputusan positif.

Beliau turut mendedikasikan kemenangan hari ini untuk isterinya yang menjadi penyokong kuatnya sepanjang kariernya.