Palmyra ditawan semula

Palmyra ditawan semula

PALMYRA, Syria, 27 Mac (AFP) – Tentera Syria yang disokong oleh tentera Rusia menawan semula bandar lama Palmyra daripada kumpulan Islamic State (IS) hari ini dalam satu kemenangan besar ke atas pejuang jihad.

Jurutera tentera sedang mematikan periuk api dan bom yang ditanam oleh IS di kawasan runtuhan bandar lama, tapak warisan UNESCO di mana pejuang jihad mencetuskan bantahan global dengan pemusnahan bangunan bersejarah.

“Selepas pertempuran sengit semalam, tentera sedang mengawal sepenuhnya Palmyra, kedua-dua tapak lama dan kawasan perumahan,” beritahu sumber tentera kepada AFP. Pejuang IS menarik diri, berundur ke bandar Sukhnah dan Deir Ezzor ke timur.

IS menakluki bandar Palmyra dan bandar moden bersebelahan pada Mei 2015.

Sejak itu ia telah meletupkan dua kuil di tapak berkenaan, gerbang serta berpuluh menara makam, dalam kempen pemusnahan yang digambarkan oleh UNESCO sebagai perang jenayah yang boleh dihukum oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

Gambar fail pada 18 April 2008 menunjukkan para pelancong mengambil gambar teater purba Palmyra di bandar bersejarah Palmyra. Pasukan kerajaan Syria telah menawan semula Palmyra pada 27 Mac, kata kumpulan pemantau dan media kerajaan. – Reuters
Gambar fail pada 18 April 2008 menunjukkan para pelancong mengambil gambar teater purba Palmyra di bandar bersejarah Palmyra. Pasukan kerajaan Syria telah menawan semula Palmyra pada 27 Mac, kata kumpulan pemantau dan media kerajaan. – Reuters

Pejuang jihad menggunakan amfiteater lama di Palmyra sebagai satu tempat untuk pelaksanaan hukuman mati, termasuk pemancungan kepala bekas ketua barang antik berusia 82 tahun.

Penawanan semula bandar merupakan satu kemenangan strategik dan simbolik untuk Presiden Bashar al-Assad, sejak ia memberikan kawalan ke atas padang pasir yang menjangkau sehingga sempadan Iraq.

IS, di sebalik beberapa siri serangan di Barat termasuk pengeboman Brussels pada minggu lalu, semakin menerima tekanan daripada serangan tentera Syria dan Iraq untuk menawan semula kubu utama dalam “pemerintahan khalifah” yang diisytiharkan sendiri. Pada Khamis, tentera Iraq mengumumkan pelancaran satu serangan untuk menawan semula bandar kedua Mosul, dikawal oleh pejuang jihad sejak Jun 2014.

IS kehilangan sekurang-kurangnya 400 pejuang dalam pertempuran untuk menawan semula Palmyra, kata Balai Cerap Syria untuk Hak Asasi Manusia, satu kumpulan pengawasan.