Pamer budaya antarabangsa

Pamer budaya antarabangsa

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 26 Ogos – Dengan hasrat untuk menyatupadukan perpaduan antara penduduk tempatan dengan luar negara yang berbilang bangsa dan kaum sambil memeriahkan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan peringkat Daerah Belait, Canang Citra Event Management (CCEM) telah mengendalikan Persembahan Malam Perpaduan Antarabangsa di pentas perayaan Gerai Tudong Saji, di sini, malam tadi.

Pengarah CCEM, Haji Zaini bin Haji Munir, semasa ditemui berkata, beliau dan rakan-rakan terdiri daripada ahli-ahli jawatankuasa pementasan tersebut turut berhasrat untuk memperkenalkan seni budaya masing-masing selaku duta kecil dalam mempromosikan budaya melalui pakaian kebangsaan yang ditampilkan, persembahan tarian, nyanyian dan muzik yang dimainkan.

Menurutnya lagi, melalui persembahan yang menampilkan para peserta dari negara jiran seperti Sarawak dan Labuan, Malaysia serta Indonesia, selain masyarakat Tiong Hua, India serta warga asing yang bekerja di negara ini, juga akan dapat menjadikan Daerah Belait sebagai satu destinasi pelancongan.

“Dalam persembahan itu juga, kami tidak melupakan untuk melibatkan kalangan anak-anak yatim dan juga orang-orang kurang upaya (OKU) untuk turut sama berhibur dalam sambutan perayaan ini, selain kami membukakan peluang kepada orang ramai untuk menghulurkan sumbangan kepada mereka,” katanya.

Berbagai-bagai persembahan penuh warna-warni telah menceriakan suasana malam perayaan itu, turut menghiburkan dengan persembahan nyanyian dan persembahan muzik ialah warga Scotland yang turut menggayakan pakaian tradisi mereka, dan warga antarabangsa lainnya, ada yang belum pernah disaksikan sebelum ini oleh penduduk di daerah ini khususnya.

Penampilan penari belia juga turut menceriakan lagi persembahan Malam Perpaduan Antarabangsa.
Penampilan penari belia juga turut menceriakan lagi persembahan Malam Perpaduan Antarabangsa.
Persembahan tarian kuda kepang oleh masyarakat Indonesia.
Persembahan tarian kuda kepang oleh masyarakat Indonesia.

Persembahan Malam Perpaduan Antarabangsa itu julung-julung kalinya dipertunjukkan di pentas terbuka bersempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di daerah ini.

Di majlis itu, para pengunjung turut terpesona dengan persembahan tarian tradisional ahli-ahli Persatuan India Belait yang menampilkan penari-penari berbakat, tidak kurang juga persembahan tarian kuda kepang oleh peserta dari Indonesia, serta tarian tradisi warga Filipina, masyarakat Tiong Hua, seni silat Melayu, tarian ngajat dan sebagainya.

Hadir selaku tetamu kehormat pada malam itu ialah Penolong Pegawai Daerah Belait, Awang Hasmiron bin Haji Mohammad Taib.

Persembahan malam tadi bukan sahaja menjadi tumpuan para pengunjung daerah ini malahan dari daerah-daerah lainnya.

ARTIKEL YANG SAMA