Pamer ilustrasi bertemakan Aidilfitri

Pamer ilustrasi bertemakan Aidilfitri

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Julai – Dalam memeriahkan bulan Syawal yang mulia ini, kedai buku Nolly Book yang terletak di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei mempamerkan seni lukisan ilustrasi bertemakan Hari Raya Aidilfitri hasil lukisan salah seorang artis tempatan Brunei, Jo Lin.

Pameran tingkap sempena Hari Raya Aidilfitri itu mempamerkan lukisan ilustrasi yang berkisar mengenai kepentingan keselamatan memandu di jalan raya dan suasana hari raya di Kampong Ayer semasa musim perayaan.

Jo Lin, 30, semasa ditemui pihak media menjelaskan bahawa, beliau ingin menekankan kepentingan sifat selalu berhati-hati, peka dan tidak lalai apabila berada di jalan raya, lebih-lebih lagi semasa musim perayaan ini.

“Saya juga ingin mengilustrasikan tentang suasana apabila saudara-mara mengunjungi dan berhari raya di Kampong Ayer dengan menggunakan tambang bot. Ilustrasi yang saya pamerkan ini telah memakan masa hampir lima hari untuk disiapkan,” jelasnya.

Antara ilustrasi Hari Raya (atas) oleh Jo Lin, dipamer di kedai buku Nolly Book (bawah).
Antara ilustrasi Hari Raya (atas) oleh Jo Lin, dipamer di kedai buku Nolly Book (bawah).

p07-3_20150718

Beliau merupakan artis tempatan yang gemar melukis ilustrasi sejak zaman kanak-kanak lagi dan dari situlah minat Jo Lin mula berkembang dalam bidang mereka bentuk grafik dan ilustrasi.

Ilustrasi Hari Raya Aidilfitri ini adalah yang pertama beliau pamerkan di khalayak ramai dan jika diberi peluang lagi, beliau menyatakan hasrat untuk menyertai mana-mana pameran yang menyokong artis-artis seni tempatan.

Sebelum ini, beliau hanya mempamerkan ilustrasinya di sekolah-sekolah dan di akaun sosial Instagram miliknya.

“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada Nolly Book kerana mempromosikan ilustrasi saya buat kali pertama dan dalam sama-sama menyokong artis seni tempatan di Negara Brunei Darussalam,” ujar Jo Lin.

ARTIKEL YANG SAMA