Pamer kehebatan catur

Pamer kehebatan catur

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Ogos – Peserta muda dari Uzbekistan, Daler Vakhidon mempamerkan kehebatannya dalam bermain catur setelah menewaskan pihak lawan dari pelbagai peringkat umur sekali gus diumumkan sebagai juara kategori terbuka Kejohanan Catur Kumpulan Umur, yang berlangsung di Pusat Tenis Kebangsaan, Berakas, di sini hari ini.

Daler Vakhidon bukan saja menunjukkan kehebatan dan kepantasan dalam mengatur strategi perlawanan dalam sembilan pusingan mengikut Sistem Swiss malah berjaya mengumpul 7.5 mata dari peserta lain dalam kategori ini.

Penyampaian hadiah berupa wang tunai kepada pemenang telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datin Paduka Hajah Adina binti Othman.

Kejohanan catur anjuran Jawatankuasa Kejohanan Catur Daerah Brunei dan Muara dengan Kerjasama Brunei Chess Federation (BCF) itu adalah sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-69 tahun.

Datin Paduka Hajah Adina (kanan) menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang.
Datin Paduka Hajah Adina (kanan) menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang.

Ia dibahagikan kepada empat kategori iaitu kategori terbuka, di bawah 14 tahun, di bawah 18 tahun dan di atas 50 tahun.

Dalam kejohanan itu, kategori di bawah 14 tahun dijuarai oleh Kamarul Ariffin bin Haji Kifli, juara di bawah umur 18 tahun disandang oleh Mohd Syahmi Badarudin dan kategori di atas 50 tahun dijuarai oleh Ya Choow Tun.

Antara negara yang menyahut cabaran kejohanan catur itu termasuk Negara Brunei Darussalam sebagai tuah rumah, Filipina, Indonesia, Malaysia, England, Wales dan Uzbekistan.

ARTIKEL YANG SAMA