Pamer kesenian bermukun

Pamer kesenian bermukun

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 24 Nov – Kumpulan pemukun negara, Selendang Sutera Brunei Darussalam terus menggiatkan persembahan seni mukun mereka dengan menerima beberapa undangan bagi menyertai pertandingan-pertandingan yang dianjurkan di luar negara terutama sekali di negara jiran.

Sehubungan itu, rombongan kumpulan tersebut yang diketuai oleh Haji Sulaiman bin Haji Duraman baru-baru ini telah menggegarkan pentas Pertandingan Bermukun Festival Gendang Melayu Sempena Acara Regata Sarawak 2016 yang berlangsung di kawasan tebing Sungai Sarawak.

Walaupun hanya meraih tempat keempat, tetapi kumpulan tersebut berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir bersama tiga kumpulan terpilih lainnya mewakili Sarawak.

Menjuarai pertandingan tersebut dengan menerima hadiah berupa wang tunai sejumlah RM3,000 berserta piala iringan dan sijil penyertaan ialah Kumpulan Mukun Warisan Wawasan Sarawak.

Manakala naib juara pula disandang oleh Kumpulan Fajar Menyinsing Indera Kayangan daripada Samarahan Sarawak dan membawa pulang hadiah RM2,000 berserta piala iringan dan sijil penyertaan.

 Kumpulan Mukun Cucu Cicit Dayang Kabong daripada Matu Daro Mukah pula berada ditempat ketiga dengan membawa hadiah RM1,500 berserta piala iringan dan sijil penyertaan. Sementara kumpulan bermukun negara berada di tempat keempat dengan membawa pulang hadiah RM800 berserta piala iringan dan sijil penyertaan.

Hadir menyaksikan pertandingan tersebut dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah ialah Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Kesenian Sarawak dan Menteri Perumahan dan Urbanisasi Negeri Sarawak, Datuk Amar Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Abang Haji Openg.

 Pengurus dan juga peserta bagi kumpulan tersebut, Awang Irwan Rino Nordin, memberitahu Media Permata hari ini, kumpulan mereka merupakan pasukan jemputan sebagai undangan balas kepada Kumpulan Mukun Sarawak yang telah menyertai Pertandingan Bermukun musim kedua yang diadakan bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam 2016.

Menurutnya, kumpulan mereka telah bersaing di peringkat saringan dan kemudian layak mara ke peringkat separuh akhir bagi bertanding dengan Kumpulan Mukun Fajar Menyinsing Indera Kayangan daripada Samarahan, Kuching.

ARTIKEL YANG SAMA