Pamer label harga pada ubat-ubatan

Pamer label harga pada ubat-ubatan

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

pg01_160318_MMN_LogoBANDAR SERI BEGAWAN, 17 Mac – Memasukkan label harga pada ubat-ubatan yang diberikan kepada para pesakit adalah salah satu cara alternatif untuk membuatkan para pesakit memakan ubat mereka kerana sebilangan pesakit tidak memakan ubat yang diberikan.

Cadangan tersebut dikemukakan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Maharaja Kerna Dato Paduka Seri Haji Yaakub bin Pehin Orang Kaya Maharaja Diraja Dato Paduka Haji Zainal semasa Majlis Mesyuarat Negara dan disambut baik oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Paduka Dr. Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi.

Menurut Yang Berhormat Dato Dr. Haji Zulkarnain, ini merupakan salah satu cara untuk mengingatkan orang ramai untuk mengikut arahan doktor untuk mengambil ubat mereka daripada diabaikan atau tidak dimakan.

Di samping itu, Yang Berhormat Dato menegaskan keterangan yang diberikan kepada para pesakit haruslah dimantapkan lagi untuk memastikan agar mereka faham akan masalah yang mereka hadapi.

Yang Berhormat Dato sering kali melihat terutama sekali orang-orang muda yang menghidapi penyakit seperti kencing manis jenis kedua dan darah tinggi, kebanyakan mereka semasa kajian semula didapati tidak memakan ubat yang diarahkan kerana mereka masih merasa sihat dengan melakukan aktiviti dalam kehidupan seharian mereka.

Oleh itu, Yang Berhormat Dato menyambut baik cadangan yang telah diberikan dalam memupuk kesedaran dan agar para pesakit peka dan mengikut arahan yang diberikan kepada ubat yang telah disediakan dalam menghindari penyakit mereka bertambah teruk.

Yang Berhormat Dato kemudian menjawab soalan daripada Yang Berhormat Pehin Haji Yaakub mengenai dengan perkembangan dan pertumbuhan klinik-klinik swasta di negara ini.

Menurut Yang Berhormat Dato menjelaskan bahawa tahap kualiti bagi klinik-klinik swasta haruslah terjaga di mana Kementerian Kesihatan akan sentiasa memantau kualiti-kualiti klinik berkenaan dengan beberapa cara.

Salah satu daripadanya adalah melalui lembaga perubatan Brunei yang mana tiap-tiap doktor di negara ini haruslah mendapati sijil amalan untuk membolehkan mereka bekerja.

ARTIKEL YANG SAMA