Pamer produk kreatif seni

Pamer produk kreatif seni

Oleh Normazlina M.D

TUTONG, 22 April – Mahasiswa-mahasiswi jurusan AC 4312 Event Design, Universiti Brunei Darussalam (UBD) dengan kerjasama Pejabat Promosi dan Pengurusan Acara (OPEM) buat pertama kalinya menganjurkan ‘Under-the-Ground UBD Arts Market’ yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini di tempat Letak Kereta Aras Bawah, Dewan Canselor UBD.

Hadir merasmikan acara berkenaan, pagi tadi, ialah Penolong Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UBD, Profesor Dr David Koh.

Pameran seni buat pertama kalinya pada tahun ini itu mempamerkan produk-produk kreatif seni daripada belia-belia Brunei yang menyumbangkan seni kreatif mereka kepada negara.

Pengarah Produksi ‘Under-The-Ground Arts Market’, Awang Muhammad Nazmi bin Mahali semasa menyampaikan ucapan alu-aluan menjelaskan, Under-The-Ground Arts Market ini memaparkan bagaimana pameran industri kreatif ini berkembang dalam teknologi komunikasi, media dan seterusnya dipasarkan dalam talian.Tujuan utama pameran ini diadakan adalah untuk menyediakan platform kepada artis-artis seni tempatan mempamerkan ciptaan mereka, selain dapat mengetengahkan bakat-bakat terpendam mahasiswa-mahasiswi UBD yang mengambil jurusan Event Design.

Profesor Dr David Koh meninjau Pameran ‘Under-the-Ground UBD Arts Market’ daripada mahasiswa-mahasiswi, UBD.
Profesor Dr David Koh meninjau Pameran ‘Under-the-Ground UBD Arts Market’ daripada mahasiswa-mahasiswi, UBD.

Selain itu, pameran ini juga untuk menyokong Wawasan Negara 2035 melalui Agenda Perkembangan Sumber Manusia yang mana para belia perlu mengembangkan bakat seni mereka di negara ini agar mereka akan dapat mempelbagaikan dan memperkukuhkan industri seni kreatif mereka dalam usaha membantu kerajaan.

Acara yang dijalankan sehingga 24 April itu ditaja oleh OPEM, Progresif Cellular Sdn Bhd, Deli, Bake Culture, D’Sunlit, Green City Concept, 88 Trading Company dan H.S. Discovery Enterprise.

Orang ramai yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ‘Under-The-Ground Arts Market’, bolehlah melayari Instagram @ubdartsmarket atau #ibelieveinartbn

ARTIKEL YANG SAMA