Pamer projek mahasiswa-mahasiswi UBD

Pamer projek mahasiswa-mahasiswi UBD

Oleh Syahmi Hassan

Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Okt – Bersempena dengan Pesta Konvo Universiti Brunei Darussalam (UBD) 2016 yang dirasmikan hari ini, pameran turut diadakan mengetengahkan projek mahasiswa-mahasiswi UBD.

Berlangsung di Learning Commons, Perpustakaan UBD, pameran berkenaan akan dibuka kepada kunjungan orang ramai selama dua minggu hingga 22 Oktober depan.

Antara projek yang ditampilkan dalam pameran berkenaan termasuk Pemetaan Industri Kreatif di Brunei; Pirolisis Spesies Acacia bagi penjanaan produk tambahan nilai seperti bio bahan api dan produk-produk bio; Menjana Tenaga Bioelektrik Melalui Tanaman; Penjernihan Air menggunakan ‘Activated Carbon’; Fosil-fosil Purba di Brunei Darussalam; SGRA; Projek Kolaborasi Pertama Mahasiswa-Mahasiswi ASEAN (ACSP); dan Gulintangan Robotik.

Pameran Pemetaan Industri Kreatif di Brunei Darussalam merupakan hasil usaha sama mahasiswa-mahasiswi dan staf akademik di bawah Program Creative Arts di Fakulti Sastera dan Sains Sosial. Tujuan projek tersebut adalah untuk menghasilkan satu Peta Industri Kreatif di Brunei Darussalam.

Peta berkenaan akan dapat menghasilkan satu analisis lengkap dalam konteks Brunei, yang akan dapat memberikan manfaat kepada penggubal dasar, industri, artis dan para usahawan, di samping memberikan satu impak penting dalam pewujudan strategi, dasar dan tindakan bagi industri kreatif di Brunei.

KIRI: DYTM berkenan diberikan keterangan mengenai Gulintangan Robotik yang direka untuk mensimulasikan seseorang yang sedang bermain alat-alat muzik traditional.
KIRI: DYTM berkenan diberikan keterangan mengenai Gulintangan Robotik yang direka untuk mensimulasikan seseorang yang sedang bermain alat-alat muzik traditional.
DYTM berkenan melihat secara dekat projek-projek yang dipamerkan.
DYTM berkenan melihat secara dekat projek-projek yang dipamerkan.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berkenan dijunjung berangkat untuk menyaksikan pameran pelbagai projek dan hasil penyelidikan inovatif para pelajar UBD.

DYTM Pengiran Muda Mahkota berkenan diberikan penerangan oleh salah seorang warga Universiti Brunei Darussalam.
DYTM Pengiran Muda Mahkota berkenan diberikan penerangan oleh salah seorang warga Universiti Brunei Darussalam.
DYTM Pengiran Muda Mahkota berkenan bergambar ramai bersama para pelajar UBD yang turut serta dalam Pesta Konvo tersebut.
DYTM Pengiran Muda Mahkota berkenan bergambar ramai bersama para pelajar UBD yang turut serta dalam Pesta Konvo tersebut.
DYTM Pengiran Muda Mahkota berkenan merakamkan kenangan bersama warga UBD yang terlibat dalam pameran tersebut.
DYTM Pengiran Muda Mahkota berkenan merakamkan kenangan bersama warga UBD yang terlibat dalam pameran tersebut.

Pameran Pirolisis Spesies Acacia bagi penjanaan produk tambahan nilai seperti bio bahan api dan produk-produk bio pula merupakan projek yang bertujuan bagi menghasilkan biotenaga melalui penghasilan bio bahan api dan produk-produk bio yang lain, yang dilakukan menerusi proses pirolisis biojisim daripada spesies Acacia yang tumbuh secara berlebihan di seluruh hutan di Brunei.

Projek tersebut akan menyediakan satu penyelesaian mesra alam menggunakan Acacia bagi menghasilkan biotenaga, yang akan dapat membantu mengurangkan kadar pengeluaran karbon dioksida kepada persekitaran dan juga akan membantu dalam usaha mempelbagaikan ekonomi negara dengan menyediakan peluang pelaburan baru dan pekerjaan.

Salah satu pameran yang menarik juga adalah pameran Menjana Tenaga Bioelektrik Melalui Tanaman yang merupakan kajian bagi satu penyelesaian di mana tenaga dihasilkan daripada tanam-tanaman hidup dengan cara yang mesra alam sekitar.

Antara fosil-fosil purba di Brunei Darussalam yang dipamerkan di Pesta Konvo berkenaan.
Antara fosil-fosil purba di Brunei Darussalam yang dipamerkan di Pesta Konvo berkenaan.
Salah satu projek yang dipamerkan dalam pameran tersebut.
Salah satu projek yang dipamerkan dalam pameran tersebut.

Bahan organik yang dihasilkan melalui fotosintesis sesuatu tanaman itu dapat disalurkan sebahagiannya kepada akar, dan secara semula jadi, mikroorganisma sekitar akar tersebut akan meruntuhkan sebatian organik untuk menghasilkan elektron sebagai satu produk sisa yang dapat dituai sebagai bekalan elektrik, tanpa menjejaskan atau memberi kesan negatif kepada tanaman tersebut.

Elektrik bersih tersebut boleh dihasilkan di seluruh dunia, dalam kawasan belakang rumah atau dalam mana-mana tanah lembap yang sesuai, termasuk kawasan padi.

Fakulti Integrated Technologies pula mengadakan pameran Gulintangan Robotik iaitu teknologi inovatif yang direka untuk mensimulasikan seseorang yang sedang bermain alat-alat muzik tradisional.

Robot berkenaan telah dibina dalam masa sembilan bulan dan diprogramkan untuk bermain secara berterusan yang mana ia membantu untuk meningkatkan dan mengekalkan kualiti persembahan.

Inovasi berkenaan akan dapat membantu untuk menghalang kepupusan alat-alat muzik dan lagu-lagu tradisional seterusnya dapat menukar perspektif generasi muda terhadap muzik tradisional.

Pameran berkenaan dianjurkan Bahagian Hal Ehwal Pelajar, UBD dengan kerjasama Pejabat Promosi dan Pengurusan Acara (OPEM).