Pamer sijil halal untuk tarik pelanggan

Pamer sijil halal untuk tarik pelanggan

KOTA KINABALU, 22 Mac – Sebuah premis makanan di sebuah kompleks membeli-belah di sini hari ini diberi notis oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sabah kerana mempamerkan sijil halal rumah penyembelihan.

Dalam satu operasi pemantauan makanan halal yang diketuai oleh Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Datuk Jainab Ahmad Ayid, premis makanan itu didapati mempamerkan sijil halal rumah penyembelihan bagi memaklumkan pelanggan bahawa daging ayam yang digunakan dalam masakan adalah halal.

Bagaimanapun, pemilik kedai seorang wanita 40-an mengaku mencampurkan ramuan tidak halal dalam masakan.

“Saya telah menyuruh KPDNKK Negeri untuk mengambil tindakan kerana ini (sijil halal rumah penyembelihan) mengelirukan pengguna Islam,” kata Jainab kepada pemberita selepas operasi itu.

Beliau juga meminta masyarakat pengguna supaya membuat kajian supaya tidak tertipu dengan helah peniaga untuk mengaut keuntungan mudah. – Bernama