Pameran BIBD Belait bermula

Pameran BIBD Belait bermula

Oleh Anwar Rosly

KUALA BELAIT, 21 Mei – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), buat pertama kalinya mengadakan jerayawara di Daerah Belait di Pusat Komuniti Pusat Insani, Seria, bagi menyediakan satu saluran sehenti bagi orang ramai di daerah ini untuk mula membuat persediaan musim perayaan akan datang.

Jerayawara yang berlangsung sehingga 23 Mei itu telah dilancarkan, hari ini, oleh Pegawai Daerah Belait, Haji Haris bin Othman, selaku tetamu kehormat.

Turut hadir ialah Pengarah Urusan BIBD, Awang Javed Ahmad, pegawai dan kakitangan BIBD, serta para peserta jerayawara berkenaan.

Sepanjang jerayawara tiga hari yang dibuka dari pukul 9 pagi hingga 7 malam itu, kakitangan BIBD akan bersedia untuk menawarkan penyelesaian pembiayaan rumah yang paling sesuai dengan setiap pelanggan untuk membantu mereka menghadapi musim perayaan yang akan datang.

Haji Haris  ketika melancarkan jerayawara BIBD di Kuala Belait.
Haji Haris ketika melancarkan jerayawara BIBD di Kuala Belait.
Haji Haris dan Javed Ahmed ketika melawat pondok Coffee Bean and Tea Leaf.
Haji Haris dan Javed Ahmed ketika melawat pondok Coffee Bean and Tea Leaf.

Jerayawara berkenaan turut disertai oleh Kedai Perabot Thomson, Coffee Bean & Tea Leaf (CBTL), Eco Bumi Arkitek, dan banyak lagi, di samping mengetengahkan beberapa e-vendor seperti Hush Cakes, GKLAM dan Nurnaela Kitchen dari Kuala Belait.

Di samping itu, pelbagai aktiviti turut diadakan seperti Kuiz BIBD (sepanjang hari jerayawara berlangsung), pertandingan mereka kek cawan bersama Hush Cakes, demonstrasi hijab oleh e-vendor Ju’niehk dan peluang untuk memandu uji kereta terbaru Volkswagen yang ditawarkan.

BIBD juga akan mengetengahkan perkhidmatan eTunai mereka, Perbankan Dalam Talian BIBDB dan BIBD Virtual MasterCard.

Selain itu, pengunjung juga berpeluang memenangi pakej percutian untuk dua orang ke Kota Kinabalu dengan menyertai pertandingan Instagram BIBD.

Manakala itu, para pelanggan yang mendaftar untuk mana-mana perkhidmatan BIBD seperti Kad Debit BIBD, BIBD Online, BIBD Mobile atau e-penyata (e-statement) juga akan berpeluang mendapat baucar sumbangan CBTL.

Sebagai sebahagian daripada promosinya, BIBD juga akan memberi pengecualian bayaran 50 peratus bagi produk-produk pembiayaan yang ditawarkan.

ARTIKEL YANG SAMA