Pameran ‘CG Exhibit’ cungkil daya kreatif pelajar

Pameran ‘CG Exhibit’ cungkil daya kreatif pelajar

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Jan – Sebuah syarikat usaha sama Brunei-China yang bergiat dalam industri teknologi komputer grafik, Sesame World Technology (B) Sdn Bhd, hari ini menganjurkan Pameran Komputer Grafik Pertama.

Pameran itu mendedahkan projek-projek komputer grafik yang dihasilkan oleh para pelajar dalam usaha untuk merangsang lagi daya kreatif mereka sambil memupuk semangat keyakinan dalam kalangan pelajar terhadap bakat dan kebolehan mereka.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang diadakan di Pejabat Sesame World Technology di Tingkat Lima, Bangunan Reka Bentuk dan Teknologi, Anggerek Desa itu ialah Ketua Eksekutif bagi Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info Komunikasi (AITI), Pengiran Haji Mohd Zain bin Pengiran Haji Abdul Razak.

Hadir sama ialah Duta Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Yang Jian yang disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif Sesame World Technology, Yang Jianfeng, Timbalan Presiden, Zhang Jingjing dan Pengarah, Soon Loo.

Tetamu kehormat dan Puan Yang Terutama ketika bergambar ramai bersama warga Syarikat Sesame World Technology.
Tetamu kehormat dan Puan Yang Terutama ketika bergambar ramai bersama warga Syarikat Sesame World Technology.
Tetamu kehormat (kelima dari kiri) bersama Duta Besar Republik Rakyat China ketika memotong reben perasmian pameran  komputer grafik Sesame World Technology.
Tetamu kehormat (kelima dari kiri) bersama Duta Besar Republik Rakyat China ketika memotong reben perasmian pameran komputer grafik Sesame World Technology.

Pameran bertema ‘CG Exhibit: The First Build’ itu mempamerkan hasil kerja komputer grafik 15 orang pelajar pusat latihan komputer grafik syarikat itu setelah menjalani kursus komputer grafik selama sembilan bulan.

Pameran itu juga dibukakan kepada orang ramai mulai pukul 9 pagi hingga 6 petang esok (30 Januari 2016).

Selepas upacara perasmian pameran tersebut, Puan Yang Terutama dan para ibu bapa pelajar akan dibawa melawat ke makmal komputer grafik syarikat itu yang terletak di tingkat lima bangunan tersebut.

Syarikat Sesame World Technology (B) Sdn Bhd merupakan sebuah syarikat Brunei-China yang mempunyai pusat penyelidikannya di Negara Brunei Darussalam dan Ibu Pejabat Globalnya di Beijing, China.

Para pegawai pengurusan kanan serta kakitangan kanan bahagian teknologi syarikat tersebut terdiri daripada eksekutif dari China, Brunei dan Singapura.

Salah satu matlamat syarikat itu ialah untuk mengembangkan bakat muda di negara ini dalam bidang komputer grafik melalui Akademi Komputer Grafik milik syarikat itu yang mempunyai kepakaran dalam reka bentuk binaan dan untuk melatih anak tempatan sebagai sebahagian daripada usaha peralihan teknologi oleh syarikat tersebut dengan bantuan Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB) dan AITI.

Akademi Komputer Grafik syarikat tersebut memulakan kursus Program Komputer Grafik Profesional selama sembilan bulan sejak Julai 2015 ekoran kerjasama dengan BEDB yang berjaya memilih 15 orang peserta daripada lebih 50 permohonan untuk mengikuti kursus itu.

ARTIKEL YANG SAMA