Pameran ‘Earth Quest’ dapat sambutan

Pameran ‘Earth Quest’ dapat sambutan

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 1 Dis – Pameran terbaru ‘Earth Quest’ yang dibawakan daripada Australia oleh Pusat Penemuan Minyak dan Gas (OGDC) telah dilancarkan baru-baru ini dan menjadi kunjungan ramai terutama dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah.

Dalam siaran akhbarnya hari ini, OGDC menyatakan, antara sekolah yang awal mengunjungi pameran tersebut serta hadir sama semasa majlis pelancarannya pertengahan bulan lalu adalah Sekolah St John, Sekolah Ugama PSJ Pengiran Haji Abdul Momin dan Sekolah Rendah Iqra.

Semasa lawatan sekolah-sekolah tersebut, mereka telah dipandu oleh kakitangan OGDC, sambil memperkenalkan pameran-pameran yang baru diteruskan dengan mengadakan beberapa aktiviti yang disediakan oleh pusat berkenaan termasuk pertunjukan sains yang dipersembahkan di akhir lawatan mereka.

OGDC juga memberitahu, setakat ini, pameran baru itu telah mendapat sambutan yang menggalakkan setiap hari sejak ia dilancarkan dan dijangka akan menarik lebih ramai kunjungan pelajar kerana temanya yang begitu relevan kepada sistem pendidikan di sekolah.

Antara tema-tema yang disediakan melalui pameran tersebut adalah tentang suasana, tekanan udara, cuaca, geologi, gas dan fosil, astronomi dan sebagainya.

Bayaran masuk bagi menyaksikan pameran tersebut adalah $1 untuk kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun, $2.00 untuk pelawat berusia 13 hingga 17 tahun dan $5 bagi orang dewasa berusia daripada 18 hingga 55 tahun, sementara itu bayaran sebanyak $3 dikenakan bagi warga emas.

Selain itu, pakej $12 turut disediakan bagi dua orang dewasa bersama empat orang kanak-kanak, di samping itu, kanak-kanak juga diberikan peluang untuk menonton pertunjukan sains tanpa sebarang bayaran dikenakan.

ARTIKEL YANG SAMA