Pameran Fotografi Sentral

Pameran Fotografi Sentral

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 25 Julai – Pusat Membeli-Belah KBSentral dengan kerjasama Jabatan Penerangan dan juga Arkib Negara di bawah Jabatan Muzium-Muzium akan mengadakan Pameran Fotografi Sentral yang pertama pada 28 Julai hingga 7 Ogos nanti.

Pelancaran pameran tersebut dijangka akan diadakan pada 28 Julai di kawasan Atrium Pusat Membeli-Belah KBSentral pada pukul 2 petang.

Pameran yang akan dibukakan kepada kunjungan orang ramai dari pukul 10 hingga 9 malam itu dianjurkan bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-70 Tahun.

Dengan tema ‘Mengenang Kembali Belait’, pameran itu akan mengetengahkan gambar-gambar lawatan Baginda Sultan ke Daerah Belait dalam beberapa tahun yang lalu dan juga gambar-gambar Pekan Belait pada awalnya untuk membangkitkan kenangan bagaimana keadaan Pekan Belait dahulu.

Pameran gambar-gambar Baginda Sultan pada Majlis-majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat bagi Daerah Belait pula juga bertujuan untuk menunjukkan rasa kasih sayang terhadap Baginda dan memperlihatkan sumbangan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam meningkatkan taraf kehidupan penduduk di sini serta pembangunan daerah sebagai pengeluar hasil minyak dan gas, dan telah berjaya menyumbangkan tenaga kerja di industri tersebut dan juga sektor swasta lainnya.

Di samping itu, pameran itu juga bertujuan untuk melibatkan diri dengan masyarakat tempatan di sini supaya menunjukkan kasih sayang dan penghargaan mereka terhadap Baginda, yang mana pembangunan progresif yang ditetapkan oleh kerajaan telah banyak membantu memodenkan negara ini sejak minyak pertama kali ditemui di sini pada tahun 1929.

ARTIKEL YANG SAMA